MSO
Perlulusan (betulkah) Enakmen Jenayah Syariah II (1993) pindaan
2015 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sudah
dibayangkan akan menjadi isu kontroversi. Hudud akan didendangkan sekali
lagi dengan penuh kemeriahan. Ada beberapa sebab kenapa ia akan jadi
kontroversi dan panas. Pertamanya ialah kerana enekmen berkenaan
mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil-wakil BN-Umno di
Kelantan.
Kesemua 12 wakil BN-Umno di Kelantan menyokong pindaan enakmen berkenaan. BN menyerahkan kepada Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Amat (foto) untuk menjadi jurucakap atau membahas rang undang-undang berkenaan kemudian menyokong pindaan berkenaan.
Ternyata Alwi dapat melaksanakan tugasnya dengan baik
dan merujakan rakyat bawahan. Alwi mempamerkan kemahiran berpidoto dan
menunjukkan kefaqihannya dalam agama menyamai sesetengah ustaz juzu amma dalam
Pas. Saya yakin ramai rakyat Kelantan terpesona dengan Alwi dan mula
membuat persepsi baru kepada Umno dipasca banjir emas ini.
Sebanyak empat firman Allah dan beberapa hadith dipetik Alwi untuk
mengatakan sokongan. Firman itu semuanya membawa maksud mengajak duduk
bersama dan tidak saling tuduh menuduh seperti dulu lagi. Satu anjakan
politik baru cuba dipancing oleh Alwi dan Umno.
Dan ucapan paling "menderaa rasa" sekali apabila beliau berkata: "Saya
sudah berpuas hati dan redho kalau saya mati kerana dapat melaksanakan
tanggungjawab ini (menyokong Hudud)". Alwi juga tidak dapat menahan
sebak di dada sehingga ditenangkan oleh rakannya. Simbolisme daripada
kata-kata dan penzahiran emosi itu, Alwi gembira apabila mula melihat
Pas dan Umno sudah dapat duduk semeja dalam membincangkan perkara
kepentingan bersama sekurang-kurangnya di Kelantan.
Saya yang mengenali Alwi sebagai seorang kawan dapat merasai akan keikhlasan itu.
Walaupun bukan semua ahli dan pemimpin Umno menerima baik apa yang
berlaku di Kelantan itu, namun setidak-tidaknya mereka menganggap
pendirian Umno Kelantan itu tepat pada masa dan keadaanya. Kejadian
banjir yang melanda Kelantan, adalah rangsangan kenapa Alwi atau Umno
ingin berkerjasama degan Pas dan melupai politik lapok. Alwi dan juga
Mustapa Mohamed dapat merasakan yang rakyat Kelantan mengharap kerjasama
kedua parti itu untuk kepentingan mereka.
Ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang "disula" Umno sebagai
enggan bekerjasama dengan Umno memudahkan Umno mengajak Pas duduk
bersama. Politik terbuka dan "tawaduk" yang dipraktiskan Ahmad Yaakub
diambil kesempatan oleh Umno.
Perlu diingat, pembentangan enakmen pindaan itu bertitik tolak setelah
ada cabaran daripada Alwi yang mengatakan beliau akan keluar Umno kalau
Najib Razak menolak hudud. Alwi bijak dalam menebak perkara ini (membuat
cagaran) kerana dia tahu dari segi tanggungjawab sebagai orang Islam
Najib tidak akan tolak, tetapi menerusi taktikal parlimen mungkin Hudud
tertolak. Jadi Alwi tetap mendapat kemenangan politik.
Biarlah kita tinggalkan Alwi dan Umno dengan seribu sandiwara atau apa.
Kita berharap apa yang diluah Alwi itu adalah benar belaka.
Apa yang hendak dikaji dan tinjau ialah apabila enakmen itu diluluskan,
mereka (yang tidak beriman, meminjam istilah Ahmad Yaakub) sudah mula
kedengaran dan kepanasan. Paling lantang ialah daripada DAP dan MCA.
Mereka menentang enakmen itu dengan memberi kata dua atau ingin memikir
dan menyemak balik hubungan dengan rakan mereka. DAP akan bermesyuarat
Isnin ini dan memutuskan tindakan selanjut terhadap Pas yang degil
membentangkan enakmen itu walaupun dibantah.
Manakala parti MCA pula mengugut rakannya dalam BN, Umno untuk
meninggalkan BN sekiranya Umno menyokong hudud Pas. Gerakan, parti yang
didominasi Cina juga mengeluarkan kenyataan yang bernada sama. Masam.
Demikian juga dengan PKR mengeluarkan kenyataan sebagai reaksi kepada
kelulusan enakamen berkenaan, sambil menyatakan kesal atas apa yang
berlaku dan menempelak Nik Amar sebagai tidak jujur memberi penjelasan
mengenai enekmen berkenaaan kepada Pakatan Rakyat. Namun kenyataan PKR
sedikit lunak dan profesional.
Yang menarik disini ialah sikap DAP dan MCA. Kenapa mereka tidak
bersetuju atau sengaja tidak mahu faham mengenai kewajiban dari segi
hukum oleh Pas itu. Secara mudahnya mereka tidak patut melenting dan
marah dengan kelulusan enakmen itu. Enakmen itu suah pun dirubah
membuang mana-mana seksyen yang menimbulkan kemarahan DAP dan MCA. Hudud
yang dipinda itu tidak melibatkan orang bukan Islam.
Kerana itu saya lihat tindakan dan sikap DAP dan MCA itu semacam satu
persepakatan pula. Mereka bersikap sengaja tidak mengerti itu semacam
ada agenda tertentu. Barang kali tidak salah kalau saya membuat tafsiran
DAP bersikap begitu kerana bimbang hudud menjadi titik temu antara Pas
dengan Umno. Demikian juga bagi pihak MCA. Kedua parti itu mengira kalau
kedua parti itu (Pas - Umno) ada titik temu ia akan memadamkan titik
politik yang menjadi aspirasi parti mereka yang berasaskan kaum itu?
Apabila mereka mengugat rakan masing-masing mereka berharap Pas akan
kekal bersama Pakatan Rakyat dan Umno kekal dalam BN bersama
komponennya. Kalau keadaan itu kekal demikian maka selamanya Pas dan
Umno akan berada pada garis selari yang tidak akan bertemu di hujungnya.
Pas dan Umno berada di sebarang sungai yang bertentangan.
Bagi mereka, DAP dan MCA selagi titik itu selari mereka akan terus
berlari atas gari lurus yang akhirnya membawa mereka sampai serentak ke
hujungnya manakala Pas dan Umno terpisah buah selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan