Khamis, 19 Mac 2015

‘Cybertrooper’ BN sepatutnya tanya, mengapa pemimpin mereka takut isytihar harta




Oleh V Shuman


Ada satu petikan daripada pelawak Amerika George Carlin: “Jangan berhujah dengan orang bodoh. Dia akan merendahkan anda ke tahapnya, dan mengalahkan anda dengan pengalaman.”

Barangkali ia kena dengan tindakan cybertrooper Umno yang bersungguh-sungguh mempersendakan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang memiliki aset bernilai RM1.6 juta, seperti yang didedahkan dalam pengisytiharan hartanya baru-baru ini.

Pelbagai posting bernada sarkastik mengkritik jumlah asetnya, walaupun hanyalah seorang Ahli Parlimen. Mereka membangkitkan latar belakang pendidikan dan kerjaya Rafizi di institusi dan syarikat berkaitan kerajaan, dan mempersoalkan tindakannya yang sering menyerang kerajaan persekutuan selepas menyertai politik.

Posting seumpama itu adalah dari laman Facebook Friends of Barisan Nasional (FoBN) yang berbunyi: “Mari kita lihat latar belakang orang yang menuduh kerajaan pusat tidak adil. 20 tahun belajar di bawah tajaan kerajaan dan syarikat kerajaan, serta 7 tahun bekerja di bawah syarikat kerajaan dengan gaji besar.

“Akhirnya pada umur 37 tahun bejaya mengumpul harta bernilai RM2 juta. Anda mampu?”

Serius, apa yang mereka cuba lakukan sebenarnya? Bukankah Rafizi sudah menyatakan semuanya secara hitam putih melalui perakuan bersumpahnya?

Hal-hal seperti pendapatan sebelumnya, pendapatan masa ini, aliran keluar masuk, pemilikannya – sesuatu yang kita tidak pernah jangka akan dinyatakan oleh politikus?

Beliau malah menjelaskan yang beliau telah melunaskan hutang pendidikan dan apa sahaja jumlah yang beliau hutang daripada Petronas!

Saya perlu jelaskan, saya bukanlah penyokong PKR atau pun peminat Rafizi. Namun pujian harus diberikan selayaknya. Apa yang beliau lakukan memang patut dipuji.



Adakah sesiapa dalam Umno, atau pun BN, yang berani mendedahkan aset mereka secara begitu terperinci? Bagaimana dengan Ketua Umno bahagian Cheras Syed Ali Alhabshee, individu yang mencabar Rafizi untuk mengisytiharkan harta pada asalnya?

Berikutan tindakan Rafizi, Syed Ali juga dipetik berkata akan membuat perkara sama dan “tiada apa yang perlu disembunyikan”. Namun, sudah seminggu berlalu dan kita belum mendengar apa-apa daripada beliau.

BN (dan penyokong mereka) perlu pastikan yang tangan mereka benar-benar bersih sebelum membuat tuduhan kepada orang lain. Jika benar tiada apa untuk disembunyikan, mengapa tidak mendedahkannya kepada rakyat? Rakyat berhak mengetahui wakil kehidupan wakil yang dipilih mereka sepadan dengan pendapatan mereka, bukan?

Penulis blog dan jurufoto terkenal saiful Nang juga menyifatkan tindakan FoBN itu sebagai “tidak matang”.

Menurutnya, tidak pelik bagi seorang yang hampir mencecah 40 tahun dan bekerja lama dalam industri minyak dan gas untuk memiliki aset bernilai RM2 juta.

“Saya fikir mereka tidak kenal industri ini. Tiga buah kereta Honda pun jadi cerita (dan) peluru (untuk) tembak balik, berbanding peluru berpandu ‘nuklear pemusnah’ dalam isu pesawat peribadi mewah milik kerajaan (Perdana Menteri, Isteri dan anak-anak) yang ada banyak itu,” katanya.

Dalam masa tiga jam sahaja, posting itu mendapat 6,300 “like” dan dikongsi 600 pengguna.

Malah salah seorang tokoh veteran Umno, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li baru-baru ini menggesa semua menteri dan bekas menteri serta Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta.

Katanya, mereka yang memegang kuasa dan pendahulu mereka perlu menjelaskan perkara itu memandangkan mereka telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, pengisytiharan itu perlu dibuat secara berkala dan dikendalikan sebuah badan bebas, dan turut merangkumi mereka dalam sektor awam dan swasta di peringkat membuat keputusan.

Malangnya, zaman di mana individu menyertai politik untk berkhidmat kepada rakyat sudah lama berlalu. Hari ini, ia lebih kepada memenuhkan poket sendiri.

Kita melihat menteri dan politikus serta keluarga mereka memandu kereta yang tidak mampu beli dengan gaji kerajaan mereka, serta terbang ke serata dunia. Pada masa sama Ahmad, Ah Chong dan Raju terus bergelut sehari-hari untuk menyara kehidupan.

Kita semua tahu dari mana wang “lain-lain” tersebut datang namun ia tidak pernah didedahkan kepada awam. Maka, sudah tiba masanya kerajaan berani melaksanakan cadangan Ku Li.

Menteri, Ahli Parlimen dan Adun daripada kedua-dua pihak perlu berani dan mencotohi tindakan Rafizi dengan mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat. Begitu juga dengan penjawat awam.

Mereka yang didapati hidup terlalu mewah melampaui kemampuan perlu dihumbankan ke dalam penjara.- bm.theantdaily.com


Tiada ulasan: