Jumaat, 27 Mac 2015

Biar Cikgu Ishak mati dalam PAS




Oleh Subky Latif


CIKGU Ishak Surin yang usianya mencecah 80-an mengetuai 16 orang lagi ahli jawatankuasa PAS Kawasan Batu, mufarakah kepada pimpinan PAS Pusat dan meletak jawatan.
   
Saya tidak bercadang untuk menyalahkannya tetapi lebih selesa mengiranya telah bertindak silap dan setiap yang silap itu bukan tidak boleh dibetulkan dan memang ia boleh dan patut dibetulkan.

Yang lemah dan silap itu bukan sifat Cikgu Ishak dan rakan-rakannya, bahkan semua orang dalam PAS dan di luar PAS ada kelemahan dan kesilapan masing-masing. Jika kesalahan murtad, Islam beri tempoh untuk bertaubat, maka maaf-memaafkan itu adalah sifat mulia dan  terpuji bagi orang Islam, apa lagi bagi penyokong PAS yang ditubuhkan untuk menjunjung tinggi kalimatullah.
   
Saya amat gembira kira Cikgu Ishak berani mengaku kelemahan dan berani juga memaafkan kesilapan orang, dan demikian juga PAS mesti berani memaafkannya dan mengaku sebagai makhluk manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
   
Kita sedang giat berjuang untuk menggantikan Umno, maka kita tidak mahu ahli yang ada luak. Apa yang kita mahu ialah sambil menambah ahli dengan orang-orang dari Umno, kita kekalkan ahli yang sedia ada. Dulu saya amat pilu Tamrin Ghafar meninggalkan PAS dan kini saya pilu Cikgu Ishak keluar daripada arus perdana perjuangan dan kegiatan PAS.
   
Sekalipun Cikgu Ishak daripada 16 tidak meninggalkan PAS, tetapi tercicir daripada arus perdana kegiatan PAS, boleh menjauhkan diri daripada jemaah yang mulia dan terpuji itu.
   
Cikgu Ishak adalah seorang pejuang politik sepanjang hidupnya. Dia membebaskan dirinya daripada ikatan kerajaan yang menjanjikan kehidupan kehidupan yang stabil. Dari muda terjun ke arena politik bagi membebas negara dan diri daripada belenggu penjajahan dan membebaskan negara dan rakyat darpada belenggu dan penindasan kaum kapitalis. Tidak pernah menikmati kemewahan hidup, tetapi berpuas hati dengan kehidupan sederhana bersama kaum marhaen.
   
Beliau mengalami pengalaman berjuang dalam Partai Rakyat, kemudian bersama Parti Marhaen dan lepas itu bersama Pekemas yang diasaskan oleh Dr. Tan Chee Khoon. Setelah parti itu mati selepas matinya Dr. Tan Chee Khoon dan Ahmad Boestaman, Cikgu Ishak yang terus mencari wadah yang serasi dari satu ke satu, akhirnya menemui PAS, parti yang berjuang unuk menegakkan keadilan dan kesucian Islam. Mungkinlah boleh dibandingkan dengan pencarian Salman al-Parsi yang mencari kedamaian dari satu agama ke satu agama,  akhirnya bertemu dengan Islam.
   
Di mana juga Cikgu Ishak berjuang, dia adalah aktivis yang gigih dan tidak pernah memikirkan keuntungan dan kemewahan peribadi.

Apa yang dimahunya ialah keadilan masyarakat, dan ia terjamin dalam Islam. Tidak ramai orang mencecah usia 80-an dapat memberi tenaga tanpa mengira penat lelah. Dan setiap pejuang itu tidak pernah sunyi daripada cabaran dan sesuai dengan kejadian manusia seperti yang tersurat dalam surah al-Asr yang maksudnya, sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran.
  
Apa yang terjadi pada Cihgu Ishak sekarang ialah dia dan rakan-rakannya terjebak dalam maksud kerugian bagi setiap manusia. Yang lain, lainlah kerugiannya. Setiap orang dari kita ada saja kerugiannya.
   
Harapan besar saya ialah Cikgu Ishak terkeluar daripada kerugian yang sedang dilaluinya, supaya kembali terus dalam arus perdana perjuangan Islam dan biarlah dia dan saya sama-sama mati dalam PAS.

Tiada ulasan: