MALAYSIAKINI
Insiden terbaru tentang pembaca berita BFM diancam bunuh, rogol dan
dibakar hidup-hidup oleh mereka yang saya anggap sebagai warga maya
Melayu-Islam menimbulkan persoalan yang serius bagi negara ini. Adakah
negara ini selamat untuk dihuni oleh anak-anak kita?
Sekiranya membangkitkan pandangan yang mudah terhadap isu seperti hudud
atau isu seperti demokrasi dan pilihan raya yang bersih, boleh
mencetuskan ancaman bunuh, rogol dan dibakar hidup-hidup, maka apa
maksudnya terhadap negara kita, rakyat dan kepimpinan kita? Di mana
budaya ini datang?
Saya perhatikan bahawa mereka yang membuat ancaman seperti ini datang
dari kebanyakannya orang Melayu yang saya anggap adalah Muslim. Di
manakah kita, sebagai sebuah negara, telah melakukan kesilapan dalam
mendidik orang Melayu ini? Apa yang kita ajar di sekolah menengah kita?
Lebih penting lagi adakah universiti awam kita menghasilkan mereka
dengan budaya seperti itu? Saya secara jujur berharap mereka yang
membuat ancaman itu tidak pernah menjejakkan kaki di universiti awam
kita kerana jika tidak, saya ingin bertanya para naib canselor, jenis
rakyat Melayu Malaysia apakah yang anda hasilkan?
Ya, mereka boleh diterima sebagai jurutera dan arkitek tetapi mereka
hampir tidak boleh diterima sebagai warganegara Malaysia, atau orang
Islam atau lebih teruk lagi, sebagai manusia dengan hati nurani yang
berperikemanusiaan? Apa sudah jadi?
Saya ke masjid dan mendengar ribuan ceramah di YouTube oleh mereka yang
dipanggil ustaz ternama dan saya tahu bahawa pemahaman mereka tentang
Islam menjadi penyumbang utama kepada jenis-jenis komen yang dibuat oleh
warga muda maya ini.
Walaupun saya berasa marah kepada warga maya yang telah membuat ancaman
seperti itu, seolah-olah filem 'Terminator' yang memberondong orang
dengan mesingan besar, tetapi saya bersedia memaafkan mereka kerana saya
tahu masyarakat telah mewujudkan budaya tersebut.
Ketika Nabi Muhammad berdepan dengan penindasan terhadap orang muda dari
Taif sehingga tubuhnya berlumuran darah, beliau berdiri di depan
malaikat Jibril dengan tentera dari syurga yang bersedia untuk
menghapuskan penduduk Taif, beliau berkata, "Tidak, jangan apa-apakan
orang-orang ini kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan".
Mungkin generasi akan datang boleh terima mesej saya jika orang-orang ini tidak boleh menerimanya pada masa ini.
Rasulullah berhati mulia untuk mengampuni orang-orang ini kerana beliau
tahu mereka yang melemparkan batu adalah remaja dan anak muda yang
dipengaruhi oleh golongan tua mereka.
Saya takut, ulama kita mungkin mengajar jenama Islam yang amat jauh daripada contoh teladan mulia Rasulullah sendiri.
Dengan kejadian ini, saya bertanya sekali lagi kepada rakyat Malaysia...
selamatkah kita untuk membesarkan anak-anak kita di negara ini? Jika
tidak, perlukah kita mula mencari tempat lain dan mewujudkan tempat yang
lebih selamat untuk membolehkan anak-anak kita mempunyai masa depan?
Saya menulis semua ini dengan hati yang berat. Saya menulis kata-kata
ini sebagai warga Malaysia yang prihatin dan sebagai orang Islam demi
semua anak-anak kita. Dan akhirnya, saya menulis semua ini sebagai bapa
kepada Aisyah Mohd Tajuddin, gadis BFM itu.
Baca tulisan asal dalam bahasa Inggeris.
Prof Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi adalah bekas pensyarah UTM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan