Jumaat, 20 Mac 2015

Apa salahnya laksanakan hudud di Kelantan - soal Nik Zawawi kepada PKR-DAP

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
 
KUALA LUMPUR: Ulama PAS membidas serta memberi peringatan kepada PKR-DAP agar tidak terus menghalang langkah parti itu melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan.
 
Malahan ketika dihubungi Antarapos, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menegaskan pemimpin komponen Pakatan Rakyat itu tidak perlu mempersoalkan keputusan PAS kerana pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan hanya dikuatkuasakan untuk umat Islam.
 
Untuk rekod, kerajaan negeri PAS Kelantan membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) selepas ia ditangguhkan pada Disember lalu susulan banjir besar yang melanda negeri itu.
 
"Apa salahnya kalau kita bertukar kepada undang-undang Islam, undang-undang yang sangat baik dan telus dilaksanakan.
 
"Kita cuba dulu, mudah-mudahan undang-undang ini akan membentuk satu situasi yang baru di dalam negara dan insya-Allah semua dapat melihat undang-undang ini adalah yang terbaik," kata Nik Zawawi.
 
Malah beliau juga menegaskan hanya undang-undang Islam mampu menangani peningkatan masalah jenayah yang semakin meruncing dalam negara.
 
"Buktinya sangat banyak, buktinya pelaksanaan di Brunei alhamdulillah dia boleh membawa isu jenayah di sana menjunam turun begitu juga di negara-negara umat Islam yang lain," katanya.
 
Pindaan enakmen Kanun Syariah II itu dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kira-kira jam 11 pagi semalam dan mengambil masa 40 minit.
 
Antara intipati yang utama dalam pindaan ini adalah pemakaian kanun ini hanya kepada orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri Kelantan.
 
Selepas pembentangan di DUN, PAS merancang untuk melanjutkan pembentangan di Dewan Rakyat menerusi rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan hudud.
 
Tak rugi laksana hudud untuk manfaat negara
 
Selain itu, Nik Zawawi yang juga Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat turut meminta PKR-DAP untuk menghormati keputusan PAS dan bersetuju dengan perkembangan yang berlaku di Kelantan.
 
"Cuma saya minta kepada mana-mana parti komponan ini supaya sedar bahawa penggubalan undang-undang enakmen jenayah ini sebenarnya ia banyak perkara.
 
"Yang pertamanya ia adalah dasar yang diamalkan di dalam PAS sejak daripada zaman berzaman dan perkara ini akan terus dilaksanakan," katanya.
 
Tambah beliau, kegagalan sistem perundangan sedia ada merupakan punca utama undang-undang Islam perlu dilaksanakan dengan menjadikan Kelantan sebagai contoh.
 
"Kedua mereka kena ingat bahawa dalam negara kita ini telah menghadapi kegagalan yang sangat besar untuk menangani jenayah.
 
"Kita gagal yang mana jenayah semakin hari semakin membimbangkan dan semakin banyak kita gagal tangani dan kegagalan ini disebabkan oleh perundangan yang gagal dalam negara kita," katanya.
 
Katanya, sebagai umat Islam sewajarnya tidak menolak hukum hudud mahupun mana-mana hukum yang digariskan dalam al-Quran malah pelaksanaannya tidak terkesan kepada masyarakat bukan Islam.
 
"Yang ketiganya masyarakat bukan Islam yang duduk BN dan Pakatan kena sedar bahawa pelaksanaan undang-undang Islam ini akan dilaksanakan kepada masyarakat Islam sahaja.
 
"Apa yang mereka nak bisingnya? Nak dilaksanakan untuk orang Islam sahaja, mereka tak perlu bising," katanya.
 
Nik Zawawi menambah sistem perundangan semasa di mahkamah sivil akan dikekal dan pelaksanaan perundangan Islam merupakan alternatif kepada masyarakat bukan Islam.
 
"Kita akan kekalkan mahkamah sivil, orang Cina atau orang India yang bukan Islam ini mereka nak pilih mahkamah sivil silakanlah.
 
"Tiada masalah," katanya.
 
 

Tiada ulasan: