Khamis, 25 Disember 2014

Yesss...Inilah PM TERBAIK Untuk Malaysia!!

shahbudindotcom



Ketika rakyat di Kelantan, Terengganu dan Pahang didakap sengsara akibat banjir yang dianggap paling buruk kali ini dan ramai pula yang tertanya-tanya di mana Perdana Menteri, Najib Razak dalam detik sengsara ini, The Washington Post akhirnya tampil memberikan jawapan yang kita tunggu-tunggu.

Dalam laporannya, ia melaporkan Najib kini sedang bercuti di Hawaii dan turut bermain golf dengan santai dan riang bersama Presiden Amerika, Barack Obama.

Sebagaimana tahun lalu, terbukti sekali lagi Najib bercuti  ke luar negara ketika musim sambutan Krismas sedang berlangsung. Sebagaimana tahun lalu, percutiannya kali ini mungkin juga sehingga sambutan tahun baru 2015 nanti.

Kesanggupan Najib bercuti di Hawaii, bergembira dan bermain golf dengan Obama ketika rakyat di Pantai Timur sedang menderita kesejukan, kelaparan dan mengalami kemusnahan harta-benda, tidak lain membuktikan beliaulah Perdana Menteri TERBAIK untuk negara ini.

Lupakanlah untuk menukar Perdana Menteri dengan Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Anwar Ibrahim atau sesiapa saja dan lupakanlah juga kehebatan Mahathir Mohamad membangunkan negara ini selama 22 tahun pemerintahannya kerana semuanya tidak terlawan dengan kehebatan Najib yang baru enam tahun dengan kuasanya.

Najib bukan saja hebat dengan kejayaan meningkatkan hutang negara, menghapuskan subsidi minyak dan gula, memansuhkan pelbagai akta, bangga dengan ungkapan haramjadah dan bangangnya, bermewah serta membazir harta negara dan banyak lagi yang jumlahnya tak terkira, tetapi juga hebat dari segi kekentalan jiwa kerana tidak peduli dengan rakyat yang derita.

Tiada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang ketika negara ditimpa bencana besar seperti banjir yang sedang melanda ketika ini, namun masih sanggup bercuti di Hawaii dan bermain golf dengan Obama yang menjadi idolanya.

Bagi manusia bernama Najib ini, kepentingan dirinyalah yang lebih utama daripada segala-galanya. Ketika beliau mula bercuti, banjir baru saja bermula dan tidak terdetik pun di hati kecilnya mahu menangguhkan percutiannya. Semasa di Hawaii pula, sudah tentu beliau diberi khabar oleh para pegawai dan macainyantentang banjir yang semakin buruk, tetapi tetap tidak sedia memendekkan pemergiannya.

Cuti dan agenda peribadi tetap lebih penting biar apa pun yang sedang berlaku dalam negara. Maka, inilah Perdana Menteri TERBAIK untuk kita semua.

UMNO dan 47 peratus pengundi yang memilih BN seharusnya amat berbangga mempunyai pemimpin seperti Najib ini. Mereka bolehlah terus mempertahan dan mengagungkannya walaupun ramai yang sudah kehilangan kata-kata apabila melihatnya bergembira dan bertepuk bahu sambil bermain golf dengan Obama.

Walaupun banjir terus menggila, Najib tidak perlu pulang segera. Teruslah bercuti di Hawaii dan Amerika. Sehari dua selepas ini postinglah gambar dalam FB atau Twitter ketika syok membeli-belah bersama Rosmah pula. 

Yesss...sekali lagi inilah Perdana Menteri TERBAIK untuk Malaysia. Hentikanlah usaha mahu menukar, menjatuh dan menggulingkannya, sebaliknya kekalkanlah Najib di Seri Perdana sampai bila-bila.  ( SH 25/12/2014)

Gambar-gambar ketika Najib  bergembira di Hawaii dan suasana yang kita boleh bayangkan deritanya di Pantai Timur..







Tiada ulasan: