Ahad, 7 Disember 2014

Utusan gesa Palanivel undur jika tak mampu

MALAYSIAKINI


 


Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel digesa berundur bagi memberikan laluan kepada pemimpin lain untuk menggantikan tempatnya sekiranya beliau gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini menulis, mengikut pemerhatiannya, Palanivel gagal menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan ini.

“Palanivel ternyata tidak mampu atas sebab-sebab yang ketara maka beliau wajar berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.

“Ramai menuding kepada Palanivel yang dikatakan kurang karisma, suka menabur janji, mengambil jalan selamat, kurang yakin dan tidak ke hadapan dalam menangani masalah kaum India,” laporan itu dipetik.

Malah penulis ruangan analisis itu turut mempersoalkan Palanivel sebagai ketua MIC yang menurutnya tidak menegur pembangkang dalam ucapannya kebelakangan ini.

“Pernah kita dengar ucapan yang kuat kesannya daripada beliau, dan bila kali terakhir beliau lantang menyanggah pembangkang?

“Sebagai pemimpin nombor satu sebuah parti politik, Palanivel mesti keluarkan segala potensi dan kebolehannya. Medan politik bukan pementasan teater bisu,” tulis Awang Selamat, seperti dilaporkan akhbar itu.

Awang Selamat turut mempersoalkan Palanivel yang tidak mahu mengambil risiko walaupun menjawat jawatan tinggi dalam MIC.

“Untuk apa terima jawatan tertinggi jika tidak mahu mengambil risiko. Kini peluang terdedah kepada Palanivel untuk menjawab segala kritikan.

“Mungkin beliau telah banyak disalahertikan selama ini. Terpulang kepada Palanivel untuk menukarkan segala kritikan itu bagi menjadikan beliau lebih gagah dalam kedudukan politiknya,” laporan itu dipetik.

Semalam, pemilihan semula MIC seperti yang diputuskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) menambahkan lagi gelora dalam parti itu.

MIC dilapor terpaksa mengadakan pemilihan semula bagi ketiga-tiga jawatan naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Tiada ulasan: