Piala AFF Suzuki 2014  
Piala AFF Suzuki 2014


TIKET bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Thailand bakal mula dijual esok sehingga Rabu depan secara atas talian (online) manakala, tiket biasa pula akan mula dijual di kaunter mulai Khamis ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Thailand sama banyak dengan yang diperuntukkan kepada penyokong Malaysia bagi perlawanan akhir pertama, Rabu depan.

“Di Thailand nanti, mereka bagi kita 2,500 tiket untuk penyokong dan jumlah sama juga kita akan beri untuk mereka di sini,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Harga yang ditetapkan adalah RM50 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi lokasi perlawanan akhir kedua antara Malaysia dengan Thailand, Sabtu depan.

Malaysia bakal menentang Thailand di negara jiran itu pada 17 Disember ini sebelum bertemu lagi pada 20 Disember depan bagi merebut Piala Suzuki AFF 2014.