MALAYSIAKINI
Tindakan kerajaan Kelantan melakukan pindaan ke atas rang undang-undang
pada 29 Disember ini tidak bercanggah dengan persetujuan dalam Pakatan
Rakyat, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
"Pada dasarnya masalah ini (perbezaan pendapat tentang hudud) sudah dipersetujui.
"Cuma sekarang, strategi dan pendekatannya adalah berbeza," kata Mustafa kepada Malaysiakini.
Menurutnya, butiran pindaan itu akan dibentangkan kepada pimpinan
tertinggi PAS yang meliputi semua anggota jawatankuasa PAS pusat pada
Ahad, 28 Disember ini.
"Kita akan dapat taklimat dari Kelantan pada 28 Disember ini," katanya.
Jelasnya, Pakatan perlu faham bahawa pindaan kepada Rang Undang Kanun
Jenayah Syariah (II) 1993 itu terletak dalam bidang kuasa negeri.
Ia bagaimanapun masih tertakluk kepada penelitian oleh jawatankuasa
teknikal hudud di antara Kelantan dan kerajaan Persekutuan, katanya.
"Yang hendak dibentang enakmen itu adalah pindaan kepada yang awal (Kanun Jenayah Syariah (II) 1993).
"Apa pun soal (bentang di Parlimen), itu bukan negeri yang uruskan.
"Kita ada jawatankuasa teknikal, jadi jawatankuasa teknikal akan buat (sebarang) cadangan," katanya.
DAP tolong faham
Kelantan bercadang meminda rang undang-undang hudud pada sidang dewan 29 Disember ini.
Kelantan juga bercadang untuk membentangkan rang undang-undang
persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan
tanpa bantahan dari kerajaan Pusat.
Cadangan itu mengundang komentar dari pimpinan PKR dan DAP yang menentang langkah untuk meminda rang tersebut.
Mengulas perkara itu, Mustafa menyifatkan komen-komen tersebut sebagai salah faham berdasarkan kenyataan yang kurang tepat.
"Jadi mungkin salah faham berdasarkan kenyataan yang kurang tepat. Minta (mereka) tolong faham," katanya.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengutamakan pelaksanaan hudud
berbanding menawan Putrajaya.
"Yalah, Putrajaya pun kita belum menang lagi. Jadi yang di Kelantan ini adalah yang sudah sedia ada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan