Ahad, 14 Disember 2014

Perkasa melihat Najib sebagai musuh



Oleh Amirrul Jeffery Igai 


Seni politik mengolah persetujuan (manufacturing consent) ini terlalu halus.Hampir sukar untuk dibaca, jika ianya tidak dicermati tanpa memahami latar belakang bagaimana seni ini menari dan bermain.Lenggok bahasa dan naratifnya lain macam.


Motif dan objektif permainan ini yang harus kita fahami, bukannya menelan bulat–bulat hasil permainan seni mengolah persetujuan yang menyebabkan kebodohan berganda.

Perkasa lahir  dan sijil kelahirannya didaftarkan di ROS pada 12 September tahun 2008.

Haji Wikipedia memberitahu Perkasa diasaskan pada 22 Mac 2009.

Ada versi yang diceritakan manusia yang berada di belakang tabir mengatakan perkasa sudah wujud pada 2 Jun 2008.

Bukan tarikh dan tahun yang akan kita perdebatkan, itu bukan keutamaan. ianya hanya peringkat permukaan.

Tetapi kejadian dan peristiwa pada tahun tersebut yang fundamental dan penting untuk dibaca.
Versi tarikh penubuhan Perkasa dari 2 Jun 2008 sehingga 22 mac 2009.

Pada masa itu Tun Abdullah Badawi masih lagi berada di pejabatnya di Putrajaya.Tun Abdullah hanya diusung keluar daripada pejabatnya secara rasmi pada 3 April 2009.

Pada Jun 2008 hingga Mac 2009 perseteruan Tun Mahathir Mohamad dengan Tun Abdullah Badawi sedang berada di puncak.

Bagaimana pula latar belakang kelahiran Perkasa?

Untuk membolehkan kita memahami gerak kerja bagaimana seni mengolah persetujuan ini berjalan maka saya membawakan satu contoh yang paling mudah.

Contoh di mana anda boleh saksikan di bahagian dapur rumah anda.

Bila anda memasak atau menjerang air di dapur, apabila air tersebut sudah menggelegak masak maka di muncung cerek tersebut akan keluar wap air.

Api yang membuatkan air itu masak adalah Tun Mahathir Mohamad.

Air yang menggelegak masak itu adalah Tun Abdullah Badawi.

Sementara wap air yang keluar dari mucung cerek itu adalah Perkasa.

Apabila kontradiksi atau pertembungan yang melibatkan dua entiti maka akan wujud sesuatu yang lain.

Kontadiksi antara Tun Mahathir dan Tun Abdullah mewujudkan Perkasa.
Perkasa diwujudkan untuk menendang Tun Abdullah keluar daripada Umno.

Ini sejarah yang tidak akan padam sehingga kiamat.

Memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Islam adalah salah satu matlamat Perkasa yang akan menghalalkan segala seni mengolah persetujuan ini bergerak.

Dan seni politik mengolah persetujuan ini masih digunapakai individu dan kumpulan yang sama bagi meruntuhkan bukan hanya satu manusia malah lebih.

Sebelum ini Tun Abdullah tumbang  dan seterusnya ialah Najib Razak.
Di bawah pentadbiran Tun Abdullah suara Tun Mahathir dihilangkan.

Suara Tun Mahathir dilenyapkan Abdullah, Tun Mahathir tiada tempat bergantung untuk menibai Abdullah.

Tun Mahathir tiada tempat di media arus perdana kawalan Umno dan kerajaan.
Maka dengan itu Tun Mahathir memerlukan platform dan pentas untuk menibai Abdullah sehingga tumbang.

Ini tidak termasuk Muhyiddin Yassin dan anaknya Mukriz Mahathir naik satu tongkang dengan Tun Mahathir untuk menghalau Abdullah daripada Umno.

Di kemuncak perseteruan Tun Mahathirdengan Abdullah inilah timbulnya Perkasa.

Perkasa dijadikan pentas untuk Tun Mahathir menghambat keluar Tun Abdullah.

Perkasa dijadikan Tun Mahathir untuk mengundurkan Abdullah.

Perkasa dijadikan untuk menekan Abdullah.

Perkasa dijadikan senapang patah untuk menakutkan Abdullah.

Bagi Perkasa, seperti yang saya nyatakan awal tadi matlamat untuk memperkasakan hak kaum Melayu dan Islam ini adalah salah satu seni politik mengolah persetujuan.

Sementara, matlamat yang lebih besar akan menyusul.

Asas kepada penubuhan Perkasa tersirat matlamat untuk menggulingkan Tun Abdullah.

Setelah Abdullah ditendang, matlamat dilihat sudah dicapai dengan jayanya maka seni mengolah persetujuan ini dilihat seakan sudah tamat, akan tetapi malangnya belum lagi.

Perjalannya masih panjang dan seni mengolah persetujuan ini masih digerakkan Perkasa sehingga ke hari ini untuk mengusung Najib Razak keluar daripada Umno.

Perkasa dan penasihatnya Tun Mahathir melihat Najib Razak sebagai musuh.
Ini adalah kerana Najib dilihat sebagai mat lembik.

Definisi mat lembik dalam konteks ini adalah takut kepada bini.

Modus operandi seni mengolah persetujuan ini adalah apa yang anda lihat pada hari ini.

Suara perkauman, hak-hak Melayu, suara berkaitan agama dimunculkan Perkasa.
Suara Perkasa adalah suara yang lantang dan nampak bersifat perkauman, akan tetapi Perkasa tidak memaksudkan.

Ambil satu contoh apabila Presiden Perkasa menyeru untuk membakar Bible yang mengandungi kalimah Allah, ianya hanya bersuara untuk menekan Presiden Umno yang dilihat tidak seiring dengan polisi penasihatnya Tun Mahathir.

Tetapi tiada upacara membakar Bible daripada Perkasa untuk mengubah kenyataan kepada tindakan fizikal.

Sama juga seperti isu sekolah vernakular, kita cepat menggelabah.

Kita cepat mati akal. Segelintir manusia yang tidak panik dan tidak menggelabah kerana mereka sedar isu vernakular termaktub pada Perlembagaan Negara.

Bila isu ini dibangkitkan ianya juga bertujuan untuk menekan Najib Razak, bukannya menterjemahkan kenyataan kepada tindakan untuk menghapuskan dan memansuhkan sekolah vernakular.

Sementara orang bukan Melayu dan kaum minoriti adalah mangsa kepada seni dan tarian politik mengolah persetujuan ini.

Sekali imbas Perkasa seakan seperti pro-Umno.

Tetapi Perkasa tidak sama satu kapal dengan Umno.

Perkasa hanya digukan untuk menekan sesiapa sahaja Presiden Umno yang dilihat sebagai lemah dan layu di mata Tun Mahathir.

Kalau Perkasa digumakan untuk menekan Presiden Umno yang lembik, bagaimana pula dengan survival politik Umno?

Kenyataan berkaitan hubungan yang mengatakan Umno dan perkasa bersifat intim harus dinilai semula.

Seni memang begini, amat halus dan sukar untuk dinilai dan dicerna.

Kadang-kadang nampak seperti tidak masuk akal. Disebabkan Umno dan perkasa menggunakan isu yang sama seperti agama Islam dan kaum Melayu, maka kedua-dua entiti ini dilihat seperti berkawan.
Ianya serupa tetapi tidak sama. Jauh panggang dari api.

Perkasa yang membangkitkan ketegangan mengenai isu hak kaum Melayu dan Islam, serta menimbulan konflik antara agama bertujuan untuk menekan dan menjatuhkan Presiden Umno sejak tertubuhnya entiti tersebut, itu kita semua sudah tahu.

Dahulu Tun Abdullah , kini Najib Razak menunggu masa.

Sementara perangkap sudah dipasang, boleh menjerut leher Najib Razak pada bila-bila masa sahaja.
Disini harap jelas, bagi Perkasa, pertubuhan itu memainkan isu Melayu dan Islam serta ketegangan agama dan kaum adalah impak kepada seni mengolah persetujuan ini.

Ianya penting untuk menekan sesiapa sahaja Presiden Umno yang dilihat lemah di mata Tun Mahathir bagi menendang keluar Presiden Umno dan sebagai minyak pelincir bagi memudahkannya meletakkan jawatan.

Ini adalah penting selagi Tun Mahathir menjadi tuan penasihat.

Sementara Umno yang kehilangan sokongan rakyat hasil daripada seni politik mengolah persetujuan ciptaan Perkasa juga bermain dengan isu Melayu dan Islam untuk menarik baik sokongan rakyat majoriti.

Umno bermain dengan isu Melayu dan Islam untuk mengolah persetujuan rakyat  Umno sahaja yang layak memerintah Malaysia.

Dan hasil daripada seni politik mengolah persetujuan ini, anda dan saya menjadi mangsa kepada politik rakus dan sempit.

Tiada ulasan: