MALAYSIAKINI
Seorang pemandu ambulans maut manakala lapan lagi cedera dalam
kemalangan melibatkan ambulans Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sebuah
kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM404 Lebuhraya Utara Selatan antara
Tanjung Malim dan Lembah Beringin semalam.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Zulkifli Bedin
berkata turut cedera dalam kemalangan kira-kira 4 petang itu ialah tiga
budak perempuan yang menaiki MPV berkenaan.
Beliau berkata lima sekeluarga menaiki MPV itu manakala ambulans HKL itu
dinaiki empat orang termasuk pemandu kedua dan dua jururawat.
"Ambulans dan MPV itu berlanggar semasa hujan lebat menyebabkan
kedua-dua kenderaan itu terbabas lalu terbalik ke bahagian kiri jalan.
"Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans maut di tempat kejadian,
seorang jururawat cedera parah pada bahagian paru-paru manakala pemandu
kedua dan seorang lagi jururawat cedera ringan," katanya ketika
dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pemandu yang maut ialah Safar Ibrahim, 57, jururawat yang parah ialah
Rabaitul Adawayah Samsudin, 24, manakala yang cedera ringan ialah Mohd
Rudin Ahmad, 50, dan Normanan Farida Makhtar, 28.
Sementara itu, kesemua mangsa yang menaiki MPV itu cedera ringan iaitu
pemandu Kok Chin Wei, 37, dan isterinya Lum Yoke Moi, 37, serta
anak-anak mereka Chauyuet Jing, 14, Chauyaet Thong, 11, Chauyet Wen, 8,"
katanya.
Zulkifli berkata ambulans itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menuju ke HKL.
Pemandu yang maut dibawa ke HKL manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan