Rabu, 24 Disember 2014

PAS Perak kerah ahli bersiap sedia bantu mangsa banjir

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR


IPOH: PAS Perak telah membuka pusat operasi banjir di beberapa buah lokasi di seluruh negeri.

Pengerusi Unit Bencana PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad berkata, seluruh ahli telah dikerah untuk bersiap siaga dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Menurutnya, setiap PAS kawasan telah dikerah untuk menyumbang bantuan awal dengan sebilangan jumlah yang telah ditetapkan kepada Pusat Operasi Bencana (POB) PAS Perak.

Seluruh kawasan juga, kata beliau dikerah untuk melancarkan kutipan dana bencana secara berterusan serta-merta.

"Setiap kawasan perlu bersedia untuk menghantar petugas atau sukarelawan untuk ops cuci.

"Kami juga memutuskan untuk mewujudkan 'Dapur Rakyat' yang akan diuruskan oleh Dewan Muslimat PAS Perak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagi yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir, bolehlah disalurkan melalui Maybank: 558453100225 atau Bank Islam: 08013010040972.

Kuala Kangsar antara yang terjejas teruk apabila air sungai melimpah membabitkan beberapa lokasi termasuklah di sekitar bandar.

Banjir tersebut turut menenggelamkan banyak kedai dan bangunan-bangunan di pinggiran sungai sekitar bandar Kuala Kangsar termasuklah Arena Square Kuala Kangsar.

Sementara itu, menurut laporan bilik operasi banjir PAS di Lenggong, sebanyak 145 buah rumah ditelenggami air membabitkan seramai 751 orang di kawasan itu setakat tengah hari tadi.

Menurut seorang penduduk, Saidi Sabri, banjir tersebut berlaku bermula pagi semalam selepas hujan lebat tidak henti hingga mengakibatkan saluran air terkandas seterusnya menenggelamkan kampung-kampung berkenaan.

"Buat masa ini, mangsa banjir sangat memerlukan bantuan kilat terutama kelengkapan pakaian dan makanan," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Jabatan Amal Malaysia sedang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah disamping menyelamatkan harta benda. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: