Rabu, 24 Disember 2014

Lebih 100 Pelancong Terperangkap di Taman Negara Jerantut

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUANTAN: Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort setelah Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

Seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata kesemua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata pelancong terbabit sepatutnya pulang hari ini, namun disebabkan hujan lebat, air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus dan bekalan makanan pula habis.

"Namun kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan, termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong yang terlibat dilakukan.

Tiada ulasan: