Ahad, 7 Disember 2014

Kit Siang: Tunku pasti sedih lihat masalah UMNO sekarang

 
Jika bapa kemerdekaan negera masih lagi hidup, sudah tentu beliau orang pertama kecewa dengan tindakan pemimpin UMNO sekarang.
lim-kit-siang-oren

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang berkata sekiranya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih hidup beliau pasti sedih melihat keadaan Malaysia masih terbelenggu dengan masalah perkauman, perselisihan agama dan rasuah. lapor Roketkini.

Penasihat DAP itu berkata demikian ketika menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-24 pemergian Perdana Menteri pertama Malaysia, yang meninggal dunia pada 6 Disember 1990 semalam.

“Tunku tentu berasa ngeri jika beliau melihat bagaimana Perhimpunan Agung UMNO dijadikan tempat mengapi-apikan politik perkauman dan hasutan agama dengan menggambarkan bahawa orang Melayu terkepung dan Islam sedang diancam.

“Beliau juga pastinya terkejut dengan tindakan beberapa perwakilan UMNO mendakwa orang Melayu telah menjadi ‘hamba di negara sendiri’ dan cubaan menukar slogan 1Malaysia kepada 1Melayu,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, mungkin perkara paling mengejutkan bagi Tunku adalah tindakan pengecut pimpinan UMNO yang gagal bertindak terhadap politik tidak bertanggungjawab dan kebencian seperti dilakukan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan perwakilan Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Sebelum ini Mashitah dalam ucapannya didakwa telah memfitnah kononnya orang Cina di Kedah membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam upacara sembahyang’, sementara itu Zaidi menuduh kejayaan Kerajaan Pulau Pinang adalah berpunca daripada kegiatan haram.

Tambah Kit Siang, fitnah Mashitah terbukti palsu apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri mendedahkan bahawa Al-Quran itu tidak dibakar, tetapi dikoyak seorang lelaki tidak siuman, yang telah ditahan di wad psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah.

Pada masa sama beliau turut mengulas, laporan peningkatan tiga anak tangga negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI). Jelasnya Tunku tentu tidak akan gembira kerana kedudukan itu jauh lebih rendah berbanding sebelumnya, membuktikan Malaysia salah satu negara paling teruk terjebak dalam rasuah dan skandal kewangan.

“Rasuah dalam tempoh tiga dekad bertambah buruk, jauh berbeza daripada pentadbiran tiga Perdana Menteri pertama Malaysia apabila rasuah tidak pernah menjadi masalah besar dan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Bilakah agaknya Malaysia boleh kembali kepada politik, sederhana dan masyarakat tanpa rasuah seperti dua dekad pertama negara?,” katanya

Tiada ulasan: