Khamis, 11 Disember 2014

Kalimah Allah: Pakatan digesa henti tuding jari

MALAYSIAKINI




 
 
 
MCA hari ini menuntut dua kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat supaya berhenti menyalahkan kerajaan persekutuan berhubung larangan pengunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam, dan sebaliknya menggunakan kuasa mereka untuk meminda enakmen negeri masing-masing.
 
Ahli jawatankuasa MCA pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor mempunyai majoriti yang cukup untuk meminda enakmen negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' dan beberapa lagi perkataan di kalangan bukan Islam.
 
Beliau juga menegaskan bahawa undang-undang melarang penggunaan perkataan berkenaan, kebanyakannya melalui enakmen negeri, yang boleh diubah oleh pemimpin negeri.
 
Ti berkata, memandangkan Pakatan memenangi 30 daripada 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dengan hanya enam ADUN Pakatan beragama Islam, beliau pasti Ketua Menterinya, Lim Guan Eng boleh dengan mudah mendapatkan 27 ADUN (majoriti dua pertiga) untuk mengundi bagi berbuat demikian.
 
Ti mendakwa bahawa kerajaan yang diterajui Pakatan juga telah memainkan sentimen penganut Kristian, yang menyumbang kepada sebahagian besar undi mereka.
 
Realiti politiknya, tegas Ti, di Pulau Pinang dan Selangor, terdapat bank undi penganut Kristian yang penting dalam memilih kerajaan negeri hari ini. 
 
Pakatan, katanya, telah mendapat mandat yang hampir mutlak dari undi penganut Kristian. 
 
Beliau juga mempersoalkan motif di sebalik 'Buku Jingga', yang dihasilkan oleh Pakatan, dan bertanya mengapa pemimpinnya belum menggunakannya di negeri masing-masing untuk memenuhi janji-janji mereka.
 
Ti membidas DAP dan kerajaan Pulau Pinang yang menurutnya perlu "menjadi berani untuk membetulkan keadaan" dan bukan mengalih kesalahan kepada pihak lain.
 
Menurutnya lagi, jika DAP ikhlas dalam mahu berlaku adil kepada penganut Kristian (di Selangor dan Pulau Pinang), mereka harus berani untuk membetulkan keadaan politik mengikut garis Penyelesaian 10-Perkara bagi Sarawak dan Sabah.
 
Katanya, bola kini di gelanggang DAP di Pulau Pinang dan mendakwa DAP tunduk kepada telunjuk minoriti di negeri itu.
 
Jelas, dakwanya, DAP mengamalkan dwi-standard  terhadap MCA dan DAP sebaliknya jelas memilih kepentingan politik.
 
"Oleh itu, berhentilah mengalihkan kesalahan itu kepada MCA, BN atau kerajaan persekutuan," tegas Ti lagi.
 
Dalam keputusan majoriti Jun lalu, mahkamah tertinggi Malaysia enggan memberi kebenaran untuk mendengar rayuan Gereja Katolik dalam kes penggunaan kalimah 'Allah'.
 
Dengan itu, ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 bahawa larangan penggunaan kalimah 'Allah' oleh The Herald, adalah tidak sah.
 
Salinan Bible dalam bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah 'Allah' telah dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari Persatuan Bible Malaysia pada 2 Januari dan hanya dipulangkan bulan lepas.

Tiada ulasan: