Ahad, 14 Disember 2014

DAP Pinda Perlembagaan Parti Bagi Hadapi PRU14

MSTAR ONLINE
 
 
Guan Eng menyampaikan ucapan dasarnya semasa merasmikan Konvensyen Kebangsaan DAP 2014, Ahad. Foto: AZMAN GHANI/The Star
 
 
 
KUALA LUMPUR: Konvensyen Kebangsaan DAP 2014 meluluskan beberapa pindaan kepada perlembagaan parti, termasuk untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan parti kepada 30 peratus pada Ahad.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Kebangsaan DAP 2014 berkata pindaan adalah penting, bagi mengiktiraf peranan yang semakin meningkat oleh wanita masa kini.

Beliau berkata ini juga penting terutama untuk meraih undi wanita pada pilihan raya umum akan datang.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan parti, persidangan ini juga meminda perlembagaan parti untuk meningkatkan bilangan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kepada 30 orang daripada 20 orang sekarang.

Ia juga meluluskan cadangan bagi penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan dalam parti kepada 30 peratus untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya sembilan daripada 30 anggota CEC yang dipilih adalah wanita.

Pindaan itu juga menyaksikan perwakilan bersetuju untuk mengehadkan tempoh menyandang jawatan pengerusi negeri kepada tiga penggal atau sembilan tahun.

"Had tempoh selama tiga penggal untuk pengerusi negeri adalah langkah untuk memastikan pembaharuan yang berterusan dan menyuntik nafas baru kepada pemimpin parti di peringkat negeri," kata Lim dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan persidangan itu di Subang Jaya.

Ia juga melanjutkan tempoh bagi Jawatankuasa Negeri daripada dua tahun kepada tiga tahun, untuk selaras dengan CEC, manakala tempoh bagi Jawatankuasa Cawangan akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun.

Jawatankuasa Perhubungan parlimen parti dirombak dengan tujuan untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum.

Konvensyen itu dengan tema ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’berlangsung sehari.   

Dalam pada itu, konvensyen meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum Hudud. 

Resolusi berkenaan yang diumum anggota Dewan Undangan Negeri Subang JayaHannah Yeoh dan diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan itu menolak pelaksanaan hukum Hudud sebagai sistem perundangan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.  

Parti itu menyokong reformasi terhadap sistem pendidikan negara dan mahu pendidikan berbahasa ibunda sebagai satu kekuatan dengan mengiktiraf peperiksaan United Examination Certificate (UEC).-BERNAMA

Tiada ulasan: