Jumaat, 19 Disember 2014

Bergaduh di stadium, 3 lagi diminta serah diri

MALAYSIAKINI

 
 
Polis meminta tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lepas supaya menyerah diri.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu atau mengenali individu yang terlibat turut diminta menghubungi pihak polis.
 
Beliau berkata mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Chang Sing Kong di talian 016-7723336 atau Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ASP Mohd Amirul Abdullah di talian 012-4748870.
    
Selain dua pegawai berkenaan, orang ramai juga boleh menghubungi IPD Shah Alam di talian 03-5520 2222, katanya.
 
Beliau berkata setakat ini 13 individu telah ditahan dan saki baki mereka yang terlibat diminta tampil bagi membantu siasatan.
 
Dalam insiden itu, sekumpulan penyokong Harimau Malaya yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam sehingga menyebabkan seorang penyokong Vietnam mengalami kecederaan.
 
Susulan itu, sembilan lelaki telah ditahan reman dengan lima daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan merusuh.- Bernama

Tiada ulasan: