Isnin, 15 Disember 2014

Balu: Jadi siapa sebabkan kematian Dharmendran?

MALAYSIAKINI


 


Ahli keluarga mendiang N Dharmendran tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan empat anggota polis yang didakwa membunuh mendiang dan menggesa pendakwaraya segera merayunya.

Marry Mariay Susay berkata, beliau kecewa apabila mendengar keputusan hakim Jumaat lalu yang memutuskan tidak ada kes prima facie terhadap tertuduh.

Ekoran pembebasan itu, Marry mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab memukul suaminya memandangkan bedah siasat mendapati Dharmendran mempunyai 52 kesan kecederaan semasa dtahanan polis.

“Sepuluh hari mereka tahan suami saya, takkan 52 kesan kecederaan itu suami saya buat sendiri?

"Kesan dikokot di telinga, takkan suami saya yang buat? Masa saya pergi melawat dulu dia OK saja. Sekarang bila dah jadi begini tak ada sesiapa yang bersalah.

“Saya memang kecewa dengan keputusan macam ini. Kalau bukan mereka (empat anggota polis itu) yang buat, siapa buat?" soalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini. Turut hadir pada sidang media itu ialah peguam N Surendran, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Peguam: Seperti tiada individu bertanggungjawab

Sementara itu, Surendran pula meminta supaya pihak pendakwaraya segera memfailkan rayuan bagi kes ini.

Katanya lagi, pembebasan empat anggota polis itu dilihat seperti tiada individu yang akan bertanggungjawab terhadap kematian Dharmendran.

“Jadi, selepas setahun lebih, kita menghadapi situasi yang mana tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian Dharmendran,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Inspektor S Hare Krishnan, 40; Sarjan Jaffri Jaafar, 44; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45; dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32.

Hakim Datuk Kamardin Hashim mendapati tidak ada kes prima facie terhadap mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di pejabat siasatan D9, Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah di ibu negara pada 21 Mei 2013.

Bedah siasat pada May tahun lalu mengesahkan Dharmendran meninggal dunia akibat "kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan".

Perkara itu dinyatakan oleh Dr Siew Sheue Feng yang turut menjumpai luka yang masih baru yang didakwanya membuktikan Dharmendran dipukul dan didera dengan teruk sehingga mati ketika dalam tahanan.

Tiada ulasan: