Sabtu, 19 Julai 2014

Langkah Kajang Gagal, Rafizi Sekali Lagi Didesak Letak Jawatan

RAKYATNEWS


alt

 

KUALA LUMPUR  - Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dicabar meletak jawatan ekoran gagal melaksanakan ‘Langkah Kajang’ yang menjadi punca perbalahan dan kemelut dalaman parti itu.

Ahli PKR Cabang Ba­ling, Zamani Mustafa berkata, ‘Langkah Kajang’ ilham Rafizi bersama Abdul Rahim Ghouse merupakan pengkhianatan terhadap parti apabila mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara pengikut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

“Saya melihat ‘Langkah Kajang’ merupakan strategi melingkupkan parti. Sekiranya dia (Rafizi) anak jantan, dia akan memohon maaf kepada semua ahli PKR dan melepaskan jawatannya dalam parti.

“Dia perlu ingat, langkah yang di­ciptanya itu turut menyebabkan huru-hara semasa pemilihan parti sehingga timbul insiden baling kerusi dan pergaduhan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dikritik hebat dari dalam dan luar parti berikutan ‘Langkah Kajang’ yang dikaitkan de­ngan usaha menjatuhkan Abdul Khalid, menjejaskan perpaduan PKR.

Dalam perkembangan sama, Za­mani turut mendesak Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memecat Rafizi daripada jawatan Pengarah Strategi dan mengambil tindakan disiplin terhadapnya.

“Desakan itu perlu memandangkan strategi yang dicipta oleh Rafizi hanya menjahanamkan parti. Wan Azizah perlu memecat beliau," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendesak agar kesemua aduan berkaitan pemilihan PKR 2014 didedahkan kepada ahli tanpa berselindung.

Tiada ulasan: