Selasa, 25 Disember 2012

Umno-BN putar belit isu pembalakan di Tasik Pedu


DETIK DAILY

 PADANG TERAP: Hutan tadahan hujan di Tasik Pedu semakin terancam! Demikian tema liputan besar-besaran oleh media talibarut Umno-BN yang difokuskan semata-mata untuk memburukkan kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat di Kedah.

Tiada apa lagi isu besar yang boleh dimainkan untuk membohongi rakyat jelata mengenai Kedah, maka isu ‘kemusnahan’ hutan di kawasan yang jauh nun di pedalaman Kedah dijadikan modal maklumlah di situ bukan kawasan ramai penduduk.

Dua pembohongan utama yang dimainkan oleh media serta juga para pemimpin BN. Pertama, kononnya kawasan hutan yang dicerahkan untuk Projek Agroteknologi itu adalah berstatus Hutan Simpan Kekal.

Sebenarnya kawasan terbabit adalah hutan simpan biasa yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Pedu pada 11 September 1952. Ia boleh diubah status mengikut prosedur tertentu.

Hutan Simpan Kekal ialah hutan Tasik Pedu yang terletak cuma di seberang laluan TEKIH (sebagai sempadan) dengan kawasan agroteknologi. Kedua, kononnya ia kawasan tadahan hujan yang membekal sumber air ke Tasik Pedu. Juga tidak benar.

Tidak ada setitik air pun dari kawasan Projek Agroteknologi tersebut boleh mengalir ke Tasik Pedu kerana aras air Tasik Pedu lebih tinggi dari sungai yang mengalirkan air di kawasan projek agroteknologi tersebut.

Anak Sungai tersebut mengalir ke Sungai Pedu yang menuju ke arah Kuala Nerang. Jika berlaku limpahan Tasik Pedu, airnya mengalir ke sungai Pedu bukan ke tasik Pedu.

Benteng atau tebing binaan Tasik Pedu terlalu tinggi, juga kawasan projek agroteknologi dipisahkan dengan laluan TEKIH iaitu jalan naiktaraf Sik ke Durian Burung.

Jadi, walaupun jarak antara tapak projek yang hutannya telah dicerahkan dengan Tasik Pedu tidak sampai 400 meter namun ia langsung tidak mengancam Tasik Pedu.

Isu seterusnya ialah penggondolan hutan, kononnya kerana mahu mengambil balak tetapi berselindung di sebalik projek agroteknologi iaitu membuka ladang buah-buahan di empat kompartment yang dicadangkan di Charuk Genting Bunga.

Tidak dinafikan berlaku aktiviti pembalakan yang melibatkan tiga kompartment (dari empat kompartment semuanya) iaitu iaitu 48A, 48B dan 50B yang melibatkan kira-kira 600 ekar tetapi semua kegiatan pembalakan melalui jawatankuasa teknikal pembalakan serta diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.

Jabatan Perhutanan terikat dengan pelbagai Akta Parlimen, sebagai kriteria untuk memberi kelulusan.
Ini bukan cerita pembalakan haram seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang ditadbir BN.

Projek agroteknologi atau disahkan oleh majlis Mesyuarat Exco sebagai Projek Agro-eco-tourism diserahkan kepada Syarikat Kumpulan Ladang iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Tanah seluas 884 ekar itu diserahkan kepada PKNK sebagai pemegang Permit Peggunaan Sementara (status tanah) dengan sewaan selama 30 tahun.

Oleh kerana kawasan tersebut dibangunkan untuk projek pertanian maka kawasan terpaksa dibersihkan, ia berbeza dengan aktiviti mengambil balak semata-mata.

Betullah laporan media bahawa pokok-pokok kecil juga dimusnahkan. Ia kerja piawai bagi membangunkan semua projek pertanian.

Samalah seperti yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri pun yang membangunkan kawasan berbukit untuk projek tanaman sawit.

Sewaktu Lebuhraya Utara-Selatan baru dibuka dahulu, di kiri kanannya semua bukit bergondol, hutan dicerahkan tetapi sekarang sudah dipenuhi dengan kelapa sawit atau lain-lain pokok pertanian.

Tidak ada pula masa itu media-media utama menyewa helikopter mengambil foto dari udara lalu melaporkan “BN rakus gondolkan bukit”.

Tiada ulasan: