Isnin, 24 Disember 2012

Tapis calon: Perlu undang-undang -SPR

KL TODAY

 

SHAH ALAM – Saringan ke atas bakal calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memerlukan peruntukan undang-undang untuk dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika tidak ada peruntukan undang-undang, cukup sekadar tapisan dalaman dilakukan oleh parti politik masing-masing.

“Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab parti itu sendiri untuk memilih dan memastikan calonnya bersih dari sebarang unsur rasuah.

“Sebenarnya, perkara ini terpulang kepada parti itu kerana mereka berhak menyaring calon-calon mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Khamis lalu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Johan Jaafar mencadangkan perkara itu dilaksanakan membabitkan semua parti politik dan individu bertanding calon Bebas.

Cadangan itu turut termasuk Ahli Parlimen yang dicalonkan semula atau pertama kali bertanding.

Wan Ahmad juga berkata, jika parti politik di negara ini serius untuk melaksanakannya, perkara ini haruslah dibincangkan dengan SPRM.

Malah beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk SPRM untuk memastikan calon adalah bersih dan berkredibiliti.

“Sebenarnya, sebelum ini kerjasama di antara kedua-dua agensi itu sudah lama wujud cuma melibatkan skop tugas yang berbeza iaitu membabitkan membanteras politik wang dan rasuah semasa pilihan raya berlangsung.

“Cuma kerjasama dalam menyaring dan menentukan integriti calon sahaja yang masih belum diwujudkan lagi,” katanya.

Katanya, jika undang-undang itu diwujudkan, maka semua parti wajib mematuhinya.

“Sebenarnya, cadangan itu baik terutamanya untuk memastikan calon yang diketengahkan adalah calon yang bersih.

“Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut lain, sebenarnya jika ia dilaksanakan ia akan menyekat kebebasan demokrasi yang diamalkan,” katanya lagi.

Wan Ahmad menambah, SPR hanya melihat calon yang layak bersih dari sisi undang-undang seperti tidak muflis, tidak disabitkan dengan kesalahan di mahkamah sehingga menyebabkan hilang kelayakan untuk bertanding dan sebagainya.

Tiada ulasan: