Isnin, 24 Disember 2012

SMM akur nasihat Saifuddin, tapi terus berkhemah

RUZY ADILA IDRIS

SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menerima teguran  Datuk Saifuddin Abdullah dengan terbuka tetapi tetap mempertahankan tindakan berkhemah di luar kompleks Penjara Kajang dua hari lalu demi menyatakan sokongan terhadap aktivis Occupy Dataran, Umar Muhammad Azmi yang kini ditahan dipenjara.

Pengerusinya, Safwan Anang berkata, pihaknya tidak pernah mempertikaikan keputusan mahkamah, sebaliknya menegaskan matlamat mereka berkumpul dan berkhemah itu untuk merasai penderitaan aktivis yang yang dialami oleh sahabat mereka.

"Kami berkhemah depan penjara itu semata-mata ingin bersolidariti bersama sahabat kami Umar.

"Kami ingin merasai apa yang kawan kami rasa dan dalam masa sama ingin memastikan Umar berada dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Saifuddin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, menasihatkan kumpulan mahasiswa dan aktivis yang berkhemah di luar kompleks Penjara Kajang supaya menghormati keputusan mahkamah.

"Memandangkan mahkamah telah membuat keputusan, maka semua pihak harus menerimanya," katanya.

Jumaat lalu, Umar Muhammad, 23, dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kesalahan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapan bulan lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu ke atas Umar Muhammad yang juga merupakan pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta dan hukuman penjara selama sebulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda.

Dalam pada itu, Safwan menambah, beliau bersama beberapa mahasiswa kini sudah berada di Dataran Merdeka bagi mengumpul sokongan orang ramai terhadap perjuangan mereka demi menuntut keadilan kepada Umar Muhammad.

Mereka bertolak dari Kajang pada jam 8 pagi tadi dan tiba di Dataran Merdeka sejam setengah kemudian.

"Sebaik tiba di sini kami sudah pun ditegur oleh pegawai DBKL yang meminta kami beredar. Mungkin sebab nampak kami bawa khemah.

"Kami sekadar menghampar tikar dan tidak memasang khemah pun. Kami menjelaskan kepada pegawai berkenaan yang kami adalah seperti pengunjung biasa yang datang ke sini dan beliau menerima alasan itu," katanya lagi.

Tambah Safwan, "mungkin mereka yang mengutuk tindakan kami ini tidak faham perasaan kami. Mungkin sebab tidak terjadi pada batang hidung sendiri ataupun pada kawan-kawan mereka."

Tiada ulasan: