Wartawan Buletin
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata pelaburan kerajaan negeri dalam projek penternakan kambing kaprima hampir RM3 juta itu belum tercapai dari matlamat asal.
Katanya, tujuan asal bagi membasmikan kemiskinan tegar serta mensifarkan kemiskinan di negeri Terengganu.
“Pelaburan kita (kerajaan) dalam projek penternakan kambing kaprima sebanyak RM2,927,663.87 iaitu hampir RM3 juta.
“Kita mulakan pada 15 November 2010 sebanyak 500 ekor kambing spesies kaprima dengan 20 ekor jantan dan kini hanya tinggal 267 ekor sahaja akibat kematiannya sejak dua tahun lalu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Kemasik, Ir Rosli Othman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 12 Disember lalu.
Menurutnya, keadaan tersebut berlaku disebabkan beberapa masalah termasuk banjir, lokasi yang tidak sesuai serta pengusaha yang tidak berpengalaman.
Malah, katanya pengusaha terpaksa berbelanja sebanyak RM5,200 sebulan, sedangkan hasil yang diperolehi sejak awal cuma RM10,300 sahaja itu pun hasil dari penjualan najis kambing tersebut.
Asha’ari menjelaskan kerajaan mewujudkan projek tersebut pada peringkat awal bagi membasmikan kemiskinan melalui cadangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang inginkan penjelasan sama ada benar kambing tersebut mati disebabkan banjir kerana mendakwa Kampung Chabang, Kemasik terletak di kawasan tinggi serta berbukit, Exco berkenaan berkata banjir tidak menyebabkan haiwan itu lemas, sebaliknya kandang yang ditenggelami air menyebabkan masalah kematian ternakan berlaku.
“Banjir yang berlaku di kawasan ternakan kambing kaprima menyebabkan rumput mati, pengusahanya tidak berpengalaman dan tidak ada pekerja yang berkemampuan.
“Tapi, tidaklah (banjir) sampai lemas cuma bila kandang tenggelam air jadi masalah kepada haiwan ternakan itu,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan