Ahad, 16 Disember 2012

Rakyat Malaysia dipercayai pengganas ditembak mati di Filipina

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia, dipercayai pengganas, ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao kelmarin.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikatakan bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya sebelum ditembak.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam (waktu Filipina) (8.40 malam waktu Malaysia) tadi, suspek bersama isterinya, Annabel Nieva Lee warga Filipina sedang mendaftar keluar dari hotel penginapannya sebelum didatangi anggota polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, isteri suspek turut ditahan pihak berkuasa Filipina untuk diambil keterangan.

"Pihak Polis Diraja Malaysia akan bekerjasama dengan polis Filipina untuk mengesan identiti sebenar suspek," katanya.

Difahamkan Mohd Noor Fikrie, yang berasal dari Kedah, berada di Filipina sejak beberapa bulan lepas dan menganggotai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Suspek dipercayai ke bandar itu bagi meletupkan bom yang diperbuat daripada mortar 60mm. - Bernama

Tiada ulasan: