Jumaat, 14 Disember 2012

PRU13: Jangan perkecil undi Perkasa

Wartawan Sinar Harian

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR -  Datuk Ibrahim Ali menasihatkan mana-mana pihak khususnya parti politik tidak memperkecilkan peranan ahli-ahli Perkasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, Presiden Perkasa ini tidak menolak pertubuhan bukan kerajaan ini, yang terdiri daripada sekitar 300,000 ahli akan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah parti dalam PRU13.

"Awak boleh kata saya ‘king maker’ tapi Perkasa mempunyai lebih 300,000 ahli, kalau kita tengok dalam satu daerah ada satu atau dua Parlimen ataupun Dun, kalau di peringkat Dun minimum ahli kita ada 300 hingga 400 ahli atau lebih sampai 1,000 orang, kalau di peringkat Parlimen, ada ahli kita 3,000 hingga 4,000 satu daerah, sudah tentu undi ini sangat penting," kata  beliau kepada Sinar Harian Online semalam sempena Perhimpunan Agung Perkasa hujung minggu ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, "sebab itu saya nak bagi tahu kepada mana-mana pihak, jangan memperkecilkan Perkasa."

"Jangan fikir undi orang lain saja penting, Perkasa tak penting, nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong tercicir," katanya lagi.

Perkasa ditubuhkan susulan pilihan raya umum empat tahun lalu. Ia akan mengadakan perhimpunan agung tahunan ketiga Sabtu ini.

Dalam pada itu, kata Ibrahim, Perkasa menyokong Barisan Nasional dalam PRU13.

"Pendirian Perkasa ialah kita masih NGO dan kita tidak menyebelahi mana-mana parti politik di negara ini, tetapi kita juga terima hakikat dalam memenuhi agenda Melayu, Bumiputera dan keselamatan negara, kita juga mahu melihat kestabilan politik negara, kita juga berhak mengundi, nak tak nak kita kena tentukan pendirian untuk pilihan raya.

"Walaupun kita tak bertanding sekurang-kurangnya nak pandu ahli-ahli kita kepada siapa kita nak memilih," kata beliau yang mengesahkan pihaknya memutuskan untuk menyokong BN.

Katanya, ia keputusan dicapai pada sesi pemukiman Perkasa pertengahan tahun ini.

Tiada ulasan: