Khamis, 20 Disember 2012

Peguam tidak terlibat dalam semakan SD Bala, kata ketua panel SPRM


Gambar fail P. Balasubramaniam.
KUALA LUMPUR — Peguam terkemuka Tan Sri Cecil Abraham tidak termasuk dalam pasukan semakan badan tersebut yang menutup fail P. Balasubramaniam ekoran pengakuan bersumpah (SD) kedua yang dibuat pada 2006 berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. 
 
Abraham telah dinamakan sebagai peguam misteri yang disyaki telah membuat draf SD kedua bercanggah ke atas penyiasat persendirian itu.

Malahan sebelum ini, terdapat beberapa orang penting telah mempersoalkan terdapat konflik berkepentingan memandangkan beliau juga berada dalam lembaga panel semakan MACC.

"PPO telah bersetuju dengan keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menghentikan siasatan kes tersebut atas sebab keterangan saksi-saksi utama yang tidak disokong oleh mana-mana saksi yang lain dan saksi-saksi utama juga merupakan saksi yang boleh dipertikaikan kredibilitinya.

"PPO ingin menyatakan bahawa salah seorang ahli panel, Tan Sri Cecil Abraham tidak hadir dan tidak terlibat di dalam mesyuarat tersebut," kata Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil dalam satu kenyataan hari ini.

Hadenan berkata bahawa kes yang mengaitkan usahawan karpet Deepak Jaikishan Rewachand telah dibentangkan pada pra-mesyuarat PPO, 8 November lalu.

Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan atau menjawab semua tuduhan yang menyelebungi Abraham.
The Malaysian Insider cuba menghubungi firma guaman Abraham, Zul Rafique & Partners tetapi gagal untuk mendapatkan komen daripada peguam tersebut.

"Keahlian PPO adalah terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang membuat keputusan tanpa campurtangan mana-mana pihak.
"Oleh itu, sebarang kenyataan yang meragui ketelusan dan kebebasan PPO adalah amat dikesali," tambah Hadenan.

Kenyataan serta-merta panel semakan SPRM tersebut merupakan maklum balas ekoran tuduhan konflik kepentingan melibatkan Abraham yang merupakan peguam bertanggungjawab menyediakan SD kedua Bala serta memegang jawatan dalam panel semakan yang menutup kes siasatan tersebut.

Misteri identiti peguam tersebut timbul sejak SD kedua oleh Bala, ia bertarikh sehari selepas yang pertama pada 3 Julai 2008 melibatkan pembunuhan Altantunya hingga menyebabkan dua anggota elit komando polis telah didakwa dan menghadapi hukuman mati.

Dalam sidang medianya selepas itu, Balasubramaniam, ditemani oleh peguam M. Arulampalam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya dan mengatakan beliau dipaksa untuk menandatanganinya.

Beliau kemudian membuat akuan bersumpah kedua, yang kemudiannya didakwa beliau pada 2009 dilakukan oleh peguam lain tanpa persetujuannya.

Isu pembunuhan Altantunya dan SD Bala ini kembali mendapat perhatian umum selepas Deepak baru-baru ini mengakui beliau terlibat dalam mempengaruhi SD kedua Balasubramaniam.

Beliau juga telah mendedahkan penglibatan seorang "Tan Sri" dalam SD tersebut dan kemudiaannya peguam senior Datuk Zaid Ibrahim juga membuat kenyataan susulan bahawa individu tersebut memegang kedudukan dalam panel Suruhanjaya SPRM.

Tiada ulasan: