Isnin, 17 Disember 2012

Pas, DAP dan PKR terus bertaaruf

Wartawan Sinar Harian
Hashim-Jasin

KANGAR – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika Kongres Kebangsaan DAP bahawa kerjasama antara DAP dan Pas adalah kerana prinsip bukan atas dasar penubuhan negara Islam atau hudud, tidak mengubah pendirian Pas untuk terus bekerjasama dengan parti berkenaan.

Pesuruhjayanya, Hashim Jasin berkata, setiap parti punyai agenda dan dasar perjuangan parti tersendiri.

Katanya, beliau yakin melalui taaruf bersama Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR dan DAP boleh mewujudkan suasana baru untuk menjaga kebajikan masyarakat.

“Semua orang sedia maklum bahawa dalam tiga parti ini ada dasar-dasar perjuangan yang berbeza. DAP dengan caranya, PKR cara dia dan Pas cara Pas.

“Tapi yang membezakannya adalah kerjasama yang ditunjukkan untuk mengekalkan taaruf tersebut,” katanya.

Katanya, Pas akan terus ikut prinsip perjuangan Pas dan begitu juga parti-parti lain akan ikut prinsip parti masing-masing.

“Kami akan terus bekerjasama walaupun pihak lawan cuba untuk memecahbelahkan pakatan ini. Sebenarnya, tindakan mereka itu tidak akan berjaya.

“Saya yakin kerjasama ini akan membawa hasil yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Hashim berkata, beliau tidak hairan cadangan pihak lawan supaya Pas meninggalkan PR walaupun dianggotai DAP.

“Saya tidak hairan apa yang dikatakan pihak lawan. Tidak semestinya DAP mahupun PKR kena ikut prinsip dan perjuangan Pas, begitu juga sebaliknya. Kesepakatan kita telah diluluskan dan agama tidak pernah melarang untuk kita bertaaruf.

"Kita faham sebab apa mereka suruh kita tinggalkan PR, sebab mereka gerun dengan apa yang kita telah buat. Itu perkara biasa. Yang penting sekarang adalah kita perlu duduk bersama, itu yang Barisan Nasional (BN) takut,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa DAP menegaskan asas parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam PR bukanlah kerana negara Islam atau hudud, tetapi atas prinsip menggalakkan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan pembangunan negara.

Tiada ulasan: