Jumaat, 7 Disember 2012

Mokhzani calon BN di Kedah?

Lukman Moidin
 
 

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan hanya 4 sahaja yang dapat dipertahankan oleh Barisan Nasional pada tahun 2008. Antara kerusi parlimen tersebut ialah Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun dan Alor Setar. Sama ada kita sedar atau tidak, semua kerusi tersebut adalah kawasan yang mempunyai kaitan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Parlimen Alor Setar (Kota Setar) adalah parlimen pertama Dr Mahathir bertanding. Manakala Kubang Pasu dan Langkawi sinonim dengan beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri. Jerlun pula sebuah kawasan baru dan cuba dijadikan kubur politik Mukhriz pada PRU12, tetapi tanpa dijangka dan kuasa Yang Maha Esa, usaha jahat ini tidak terlaksana. Siapa sangka “magis” dan “bisa” negarawan ini masih kuat auranya dalam politik di Negeri Kedah.

Legasi perjuangan negarawan tersohor ini harus diteruskan melalui anak ketiga beliau iaitu Mokhzani (gambar). Beliau  adalah antara individu terbaik untuk memikul harapan dan cabaran untuk membantu kemenangan salah satu kerusi Parlimen di Kedah pada PRU13. Malah ramalan banyak kerusi yang dijangkakan akan kembali memihak kepada BN pada pilihnraya akan datang boleh menjadikan kehadiran 2 orang anak negarawan ini untuk mengukuhkan Umno dan Barisan Nasional di Kedah.

Umum mengetahui ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir, anak-anak beliau tidak dibenarkan bertanding. Selepas persaraan Dr Mahathir, hanya Mukhriz sahaja dibenarkan aktif  berpolitik dan Mokhzani terpaksa mengalah. Keadaan kini sudah berubah, Dr Mahathir harus membenarkan Mokhzani turun ke gelanggang membantu kemenangan BN Kedah.

Pengalaman menjadi Ketua Pemuda Umno Merbok, Bendahari Pemuda Umno Malaysia dan Bendahari Umno Negeri Kedah adalah aset besar untuk Mokhzani terlibat semula secara aktif. Dengan kekayaan perniagaan dan diiktiraf  antara orang Melayu terkaya, beliau tidak perlukan jawatan politik untuk  mengumpul harta.

Ketika politikus lain hanya mempunyai jaket keselamatan atau pelampong untuk berenang, Mokhzani sudah mempunyai bahtera untuk meredah dan belayar di samudera politik Malaysia. “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, kalau tidak diberikan peluang, manakan nampak kehebatannya”.
― lukmanmoidin.blogspot.com

Tiada ulasan: