Selasa, 25 Disember 2012

Mahkamah kelam kabut kendali saman AES, mangsa diarah pulang

Oleh Norutul Ilham

TAIPING : Mahkamah pertama yang mengendalikan kes saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hari ini ‘kelam kabut’ apabila pendengarannya terpaksa dibatalkan kerana senarai kes itu tiada dalam rekod.

Menurut peguam yang mengendalikan kes tersebut, Fitri Asmuni, mengikut surat yang dihantar kepada lima mangsa saman, mereka dikehendaki hadir ke Mahkamah Majistret Taiping bagi pendengaran yang dijadualkan bermula jam 8.45 pagi tadi.

“Hari ini tiada pendengaran ataupun keputusan. Mangsa saman diarahkan pulang. Kes saman langsung tidak dimasukkan dalam senarai kes untuk didengar di mahkamah.

“Ini kerana surat saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tapi sehingga hari ini, mahkamah tidak menerima apa-apa senarai kes melibatkan saman AES.

“Dalam rekod yang kita terima, hari ini ada lima mangsa akan mendengar kes mereka di sini,” katanya kepada Keadilan Daily.

Bagaimanapun Fitri berkata, kemungkinan mahkamah akan memanggil semula mangsa kerana saman tersebut tidak digugurkan.

“Mahkamah hanya suruh mereka (mangsa saman AES) pulang tanpa memberitahu tarikh baru pendengaran. Kemungkinan besar mereka akan dipanggil semula kerana saman tidak digugurkan.

“Mungkin juga ini ada kaitan dengan kenyataan Peguam Negara berhubung penangguhan kes AES di mahkamah,” kata Fitri yang juga Ahli Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham).

Mengulas lanjut, beliau kesal dengan tindakan mahkamah kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu berhubung perkara tersebut.

“Sepatutnya mahkamah maklumkan awal. Mereka perlu dapatkan butiran daripada JPJ bagi kes saman AES. Mereka terbabit bukan semua penduduk setempat, ada yang datang dari Butterworth, Pulau Pinang,” jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengumumkan penangguhkan semua prosiding berhubung kes AES di mahkamah.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagaimanapun menegaskan, semua saman AES yang dikeluarkan JPJ adalah sah.

Sebelum itu, Pakatan Rakyat membantah keras saman tersebut yang bersifat menindas rakyat dan hanya menguntungkan kroni Umno BN.

Bantahan itu diaplikasikan di empat negeri Pakatan yang menangguhkan operasinya untuk dibuat penambahbaikan.

Tiada ulasan: