Ahad, 16 Disember 2012

Kematian Akhbar Harian Di Malaysia ?

Oleh Nobisha


Untuk sekian lama, pagi hujung minggu ialah masa untuk bersantai. Bagi kebanyakan orang, inilah masa untuk minum pagi, makan roti canai dan nasi lemak, sambil membaca akhbar.

Akhbar merupakan antara media utama orang ramai mendapatkan berita.

Bagaimanapun, sejak ledakan internet pada tahun 2000 (rujuk "The World is Flat"), internet dikatakan mula mengambilalih peranan akhbar.

Sekiranya ini benar, adakah ini merupakan petanda bahawa akhbar-akhbar harian akan berkubur - sekiranya tidak sekarang, mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama?

Menurut Pew Research Center for the People & the Press, televisyen masih merupakan sumber utama warga Amerika Syarikat mendapatkan berita dalam dan luar negeri, iaitu untuk sekitar 70% penduduk negara itu.

Bagaimanapun, untuk pertama kalinya pada tahun 2008, internet mula mengatasi akhbar sebagai sumber utama mereka mendapat berita; 40% mengatakan mereka mendapatkannya dari internet, berbanding 35% dari akhbar.

Ini adalah satu peralihan yang ketara, berbanding dengan masa awal ledakan internet dulu.

Pada tahun 2001, hanya 13% rakyat Amerika Syarikat mendapat berita dari internet, berbanding 45% dari akhbar dan 74% dari televisyen.

Implikasi kepada fenomena ini ialah kemerosotan jualan edisi cetak akhbar dan majalah.

New Orleans menjadi bandar besar pertama di Amerika Syarikat yang tidak mempunyai akhbar harian apabila The Times-Picayune dikeluarkan tiga kali seminggu saja. Akhbar itu sebelum ini dikeluarkan setiap hari.

Sementara itu di Alabama, akhbar The Birmingham News, The Press-Register of Mobile dan The Huntsville Times juga mula diterbitkan tiga kali seminggu.

Sewaktu kemuncaknya, majalah antarabangsa, "Newsweek" mempunyai 3 juta edaran. Kini, edaran majalah itu turun kepada 1.5 juta saja.

Pada 31 Disember ini, Newsweek akan mengeluarkan edisi cetak terakhir. Mulai tahun hadapan, Newsweek hanya diterbitkan dalam versi digital sahaja.

Apakah tren ini juga dirasai di Malaysia?

Melihat dari segi statistik, sudah ada petanda ke arah itu walaupun kesan penuh belum dapat dilihat lagi.
Peningkatan pengguna internet adalah faktor penyumbang ke arah itu.

Menurut New Media Trend Watch (http://www.newmediatrendwatch.com), jumlah rakyat Malaysia yang mempunyai internet (online population) pada tahun 2011 ialah 17,723 atau 61.7% (15 tahun dan ke atas).
Pada tahun 2000, pengguna internet di Malaysia hanyalah sekitar 3.7 juta orang saja.

Satu lagi faktor ialah penggunaan "mobile devices." Lebih separuh pengguna (55%) internet di Malaysia menggunakan laptop, sementara 11% menggunakan smartphone.

Hampir dua dari 10 orang (19%) rakyat Malaysia berumur 20-24 tahun mempunyai akses internet melalui telefon.

Ini bermaksud akses internet menjadi lebih mudah dan dicepat.

Bagaimanapun perubahan ini belum mempunyai kesan yang besar. Bilangan edaran akhbar harian dan mingguan pada separuh tahun pertama 2012 tidak banyak berbeza dengan sebelumnya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulation Malaysia (ABCM) bagi Januari hingga Jun 2012, Mingguan Malaysia mencatat edaran 371,529 naskah dan Utusan Malaysia (181,356).

Jumlah edaran Mingguan Malaysia jauh mengatasi akhbar berbahasa Inggeris paling popular, Sunday Star (292,606) dan lain-lain akhbar berbahasa Melayu.

Pada tahun 2011, jumlah edaran Mingguan Malaysia ialah 362,635.

Sementara edaran paling tinggi ialah akhbar-akhbar tabloid Metro Ahad (434,988) dan Harian Metro (394,026), diikuti Sin Chew (389,840).

Hampir semua akhbar Malaysia mula menerbitkan versi digital, sebagai persediaan menghadapi peralihan gaya hidup.

Di kalangan akhbar Malaysia yang mempunyai versi online, The Star berada pada kedudukan pertama (ranking 22), diikuti dengan Utusan Malaysia (35) berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Alexa.com.

Ini menunjukkan populariti akhbar harian dan mingguan seperti The Star dan Utusan Malaysia di internet tidak jauh beza dengan versi cetak.

Maksudnya, sekiranya pengguna beralih dari mendapatkan berita melalui akhbar bercetak kepada secara online, populariti akhbar sedia ada tidak berubah.

Di kalangan keseluruhan media berita online, hanya Malaysiakini mampu berada di hadapan The Star dan Utusan Malaysia. Selain itu, portal berita lain masih belum mampu mencabar populariti kedua-dua akhbar itu di Alexa.com.

Kembali kepada persoalan yang saya ajukan di awal tulisan ini - Adakah dengan ledakan internet, kematian akhbar harian di Malaysia sudah bermula?

Melihat kepada hujah di atas, saya merumuskan tidak. Tidak dalam jangka masa terdekat!

* Untuk statistik Audit Bureau of Circulations Malaysia, sila rujuk http//www.abcm.org.my manakala untuk ranking, sila rujuk http://www.alexa.com -http://nobisha.blogspot.com

Tiada ulasan: