Selasa, 4 Disember 2012

KEADILAN temu ICAC, lengkapkan bukti rasuah RM40 juta Musa Aman

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR: Delegasi KEADILAN akan ke Hong Kong semula 12 Disember ini bagi menyerahkan bukti berkaitan skandal rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang berkata, kunjungan kali kedua itu sebagai memenuhi permintaan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) supaya bukti yang diperlukan pihaknya untuk membuka semula siasatan kes tersebut dilengkapi.

“Kita akan bertemu ICAC 13 Disember ini dan serah dokumen yang mereka tiada, termasuk semua dokumen transaksi. Ia bagi membantu ICAC dapatkan bukti kes,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Lih Kang, bukti berkenaan juga akan diserah kepada Ahli Parlimen (MP) Hong Kong yang ditemui sebelum ini untuk dibawa kepada Mesyuarat Panel Keselamatan Hong Kong.

“MP Hong Kong berjanji untuk bawa isu ini ke dalam agenda mereka. Panel Keselamatan adalah pihak yang bertanggungjawab memantau ICAC,” jelasnya.

Sebelum ke Hong Kong tempoh hari, delegasi tersebut membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes yang turut melibatkan taikun balak, Michael Chia itu, namun masih tiada tindakan susulan.

“SPRM tak macam ICAC yang minta bantuan kita untuk kumpul bukti. Sampai sekarang SPRM masih tiada apa-apa tindakan,” katanya.

Rombongan KEADILAN di depan bangunan ICAC 21 November lalu.

Pada 21 November lalu, delegasi KEADILAN yang dianggotai Lih Kang, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli; MP Selayang, William Leong dan MP Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian ke Hong Kong untuk menggesa ICAC menyiasat semula kes rasuah tersebut.

Usaha mereka mendapat sokongan dan kerjasama MP Hong Kong – James To, Leung Kwok Hung dan Raymond Wong.

Kes tersebut turut mendapat liputan akhbar dan televisyen utama Hong Kong.

Bagaimanapun, mereka diminta untuk membekalkan lebih banyak bukti kepada ICAC supaya kes itu dapat dibuka semula ekoran tidak mendapat kerjasama kerajaan Malaysia.

Musa sebelum ini didakwa menerima sumbangan untuk Umno Sabah melalui ahli perniagaan, Michael Chia yang ditahan kerana menyeludup wang berkenaan di lapangan terbang Hong Kong pada Ogos 2008.

Tiada ulasan: