Isnin, 3 Disember 2012

Bimbang PM Melayu Pakatan tidak peduli Melayu

 
Ahli parlimen BN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mendakwa Pakatan Rakyat telah mencemuh institusi-institusi yang mewakili orang Melayu. 



PETALING JAYA: Pemimpin popular Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini melahirkan kebimbangan bahawa Perdana Menteri Melayu dari Pakatan Rakyat tidak akan mempedulikan kepentingan bangsa sendiri.

“Kita bimbang Perdana Menteri Melayu tidak akan mempedulikan orang Melayu. Itulah yang kita bimbangkan,” kata Abdul Rahman yang juga ahli parlimen Kota Belud serta setiausaha Umno Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika berucap dalam konvensyen tahunan DAP negeri Pulau Pinang 2012.

“Kita mahu menyakinkan orang-orang Melayu bahawa orang Melayu tidak akan hilang kuasa di tanah sendiri. Cuma UMNO yang akan hilang kuasa dalam arena politik Malaysia.

“Orang Melayu masih boleh pegang kuasa dalam aturan politik baru yang dipepolori oleh PR,” kata Chow juga ialah ahli parlimen Tanjong dan Adun Padang Kota pada hari Sabtu lalu.

Mengulas lebih lanjut Abdul Rahman berkata dalam tempoh lima tahun berkuasa di peringkat negeri, tiada satu institusi kerajaan yang mewakili orang Melayu dan Bumiputera yang tidak dicemuh para pemimpin Pakatan Rakyat.

“Dasar Ekonomi Baru, Mara, Felda dan institusi diraja… semuanya dicemuh oleh Pakatan,” kata Rahman.
Merujuk kepada bajet alternatif Pakatan Rakyat, Rahman berkata: “Tiada satu ayat di dalam bajet tersebut yang merujuk kepada masyarakat Melayu dan Islam.”

Beliau turut mengkritik dasar kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang memaksa orang Melayu keluar dari kawasan pulau.

‘Orang Melayu terpaksa keluar’

“Orang Melayu terpaksa keluar dari pulau kerana kos perumahan yang tinggi. DAP juga tidak sensitif memaksa orang Melayu berpindah ke kawasan rumah kos rendah berhampiran dengan kilang di tanah besar,” kata Rahman.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mujahid Yusof Rawa bagaimanapun mempertahankan kenyataan Chow.

“Orang Melayu ialah faktor perubahan dan penentu politik Malaysia. Kenyataan bahawa orang Melayu akan hilang kuasa ialah satu pembohongan yang tidak berpijak di bumi nyata,” kata beliau yang juga merupakan ahli parlimen Parit Buntar.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu tidak akan tergugat kerana ia sudah terjamin menerusi peruntukan di dalam perlembagaan.

Mujahid turut menambah PAS akan mewakili kepentingan Melayu.

“Orang Melayu akan ada alternatif di dalam PAS. Yang tiada ialah Umno. Ini tidak bermakna Melayu terhapus,” kata beliau.

Tiada ulasan: