Selasa, 4 Disember 2012

AES: 2 pemandu mengaku tidak bersalah

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Dua pemandu yang didakwa melakukan kesalahan di bawah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mengaku tidak bersalah di mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Majistret di sini, Noorasyikin Sahat menetapkan 18 Disember ini bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan dokumen berkaitan.

Mohd Ridzuan Mohd Yusoff dan Henny Suryani Yacub @ Yaakob didakwa kerana tidak mematuhi isyarat lampu merah di Jalan Klang Lama.

(Gambar: Mohd Ridzuan dan Henny Suryani bersama Zulhazmi.)

Mohd Ridzuan yang ditemui Harakahdaily selepas sebutan kes memberitahu pelaksanaan AES adalah tidak wajar dan membebankan pemandu.

Namun ketika kesalahan tersebut dirakam, beliau menegaskan tidak melanggar lampu isyarat tetapi hanya berhenti melebihi garisan yang ditetapkan.

"Sebagai pemandu teksi saya sentiasa berada di jalan raya dan sudah pasti dengan pelaksanaan sistem tersebut terus memberi tekanan kepada diri saya dan juga rakan-rakan yang lain.

"Lagi pun saya tidak langgar lampu isyarat dan sepanjang saya menjadi pemandu teksi tidak pernah sesekali pun saya langgar isyarat lampu merah," jelasnya.

Henny Suryani Yacub @ Yaakob merupakan pekerja swasta turut mempertikaikan pelaksanaan AES yang disifatkan tidak adil.

Tambahnya lagi, beliau juga turut tidak mengetahui langsung bahawa AES ini telah dilaksanakan dan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai sistem tersebut.

"Saya tidak mengetahui langsung AES ini dilaksanakan dan tidak mendapat keterangan secara terperinci dari pihak kerajaan dalam pelaksanaan tersebut.

"Saya juga harap kerajaan memansuh AES dengan segera kerana ia amat membebankan rakyat, apatah lagi dengan jumlah kompaun RM300 yang betul-betul membebankan rakyat," katanya.

Ditanya kenapa mengambil tindakan tidak mengaku salah, jelasnya gambar kereta yang diirakam itu tidak membuktikan bahawa beliau betul-betul berada di persimpangan lampu isyarat.

Menurutnya lagi, jika hanya gambar sedemikian yang dihantar tidak membuktikan beliau betul-betul berada di persimpangan lampu isyarat.

"Saya mahu pihak JPJ buktikan kesalahan bahawa saya betul-betul langgar lampu isyarat, kalau hanya gambar sedemikian saya boleh katakan ia diambil di lokasi lain," tambah beliau lagi.

Mereka turut berterima kasih dengan khidmat guaman yang disediakan oleh Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) yang mewakili mereka dalam kes saman AES.

Peguam Zulhazmi Shariff yang juga merupakan Penasihat Undang-Undang Kase mewakili mereka hari ini.

Menurut Zulhazmi, terdapat kes seorang pemandu yang mengaku salah kerana didakwa melanggar lampu isyarat dan perlu cepat untuk membawa isteri ke hospital.

Namun hakim hanya diberi amaran lisan sahaja.

"Jika individu tersebut yang mengaku salah atas dakwaan tetapi hanya diberikan amaran lisan, saya pasti dalam AES kita juga mampu berbuat demikian," katanya.

Beliau juga meminta 118 pesalah AES sebelum ini yang dikenakan waran tangkap diharap dapat menghubungi Kase bagi bantuan guaman.

Dalam pada itu, esok (Rabu) terdapat lagi kes saman AES yang dikendalikan oleh Kase di mahkamah yang sama.

Tiada ulasan: