Khamis, 11 Jun 2009

Tindakan PAS haram SIS terlalu keras - Dr Mahathir

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik PAS berikutan gesaan parti itu supaya Sisters in Islam (SIS) diharamkan, dengan mengatakan yang PAS telah bersikap terlalu keras.

"Saya kecewa PAS harus mencadangkan pengharaman ke atas SIS. Saya tidak selalu bersetuju dengan pandangan SIS tetapi mereka tidak menafikan Islam," katanya semalam sebagai maklum balas kepada cadangan parti itu pada Muktamar PAS ke-55 Ahad lalu.

"Dalam kebanyakan contoh, mereka menyatakan petikan-petikan ayat Quran dan Hadis bagi menyokong pandangan mereka. Jika kita tidak bersetuju, berikan sebab mengapa kita tidak bersetuju. Tetapi langkah untuk mengharamkannya adalah terlalu keras," kata beliau dalam blognya chedet.co.cc.

"Kita boleh bayangkan bagaimanakah nanti kerajaan PAS untuk Malaysia," katanya.

PAS meluluskan usul supaya SIS diharamkan dan mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya menyiasat pertubuhan itu kerana dikatakan telah menyalahgambarkan Islam, mengharamkannya dan menghantar ahli-ahli pertubuhan itu menjalani "pemulihan" jika terbukti bersalah.

SIS, bersama 42 pertubuhan lain dan 279 individu telah mengeluarkan kenyataan menggesa PAS supaya menarik semula cadangan pengharaman itu dan mempertimbangkan semula kedudukan mereka.

"Desakan supaya SIS akhirnya diharamkan tidak kena dengan retorik PAS ke arah Malaysia yang lebih demokratik dan menyeluruh," menurut kenyataan itu dan menambah yang desakan itu merupakan langkah anti demokrasi.

"Walaupun ahli-ahli PAS berhak menyuarakan pandangan mereka, desakan supaya SIS diharamkan tidak dapat diterima sama sekali.

"Dari segi prinsip, persoalan untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan disebabkan pandangan mereka tidak sepatutnya timbul. Perbezaan pandangan mesti dihormati dan diselesaikan melalui ikatan yang konstruktif," katanya.

Menurut kenyataan itu, desakan supaya SIS menutup mulut dan menghantar ahli-ahlinya untuk pemulihan adalah tindakan kejam yang bertentangan dengan kebebasan.

Tiada ulasan: