Isnin, 15 Jun 2009

Tiga penagih dadah sedang khayal maut disambar petir

utusan online


JOHOR BAHRU - Tiga penagih dadah maut manakala seorang lagi cedera akibat dipanah petir ketika mereka sedang khayal mengambil dadah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Pasak dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kumpulan tujuh lelaki yang dipercayai penagih itu sedang leka mengambil dadah di bawah sebuah khemah di ladang berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika hujan lebat yang disertai dengan petir bermula sejak pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka terselamat dalam kejadian itu dan kini menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, mereka yang maut ialah Md. Ehsan Harun, 58, dari Felda Sening; Arif Abu Asa, 34, dari Felda Pasak dan Nordin Mohamed, 45, dari Lok Heng.

Menurut beliau, lelaki yang cedera ialah Othman Ismail, 35, atau lebih dikenali sebagai Man Sakai yang cedera pada kaki.

"Man Sakai dikatakan telah menghubungi abangnya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis.

"Dua daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kota Tinggi. Kesemua mereka mengalami kecederaan di bahagian belakang dan kaki," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Osman, kesemua mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat manakala penagih yang cedera itu pulang ke rumahnya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi.

Beliau memberitahu, polis mengesahkan kesemua mereka yang meninggal dunia dan cedera itu merupakan penagih dadah berdasarkan rekod kesalahan dadah yang dimiliki sebelum ini.

Malah, katanya, daripada tiga yang maut itu, seorang daripadanya disahkan pembawa HIV positif.

Osman bagaimanapun enggan mendedahkan nama pesakit itu.

Tiga lagi yang melarikan diri telah dikenal pasti dan polis kini sedang memburu kesemua mereka, kata beliau.

Tiada ulasan: