Jumaat, 26 Jun 2009

‘Tiada ancaman sianida’

UTUSAN ONLINE


KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiada bahan kimia berbahaya jenis sianida dalam kawasan perlombongan emas di Bukit Koman, Raub yang boleh mengancam kesihatan penduduk sekitarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, JAS yang menjalankan kajian ke atas sampel air di Sungai Koman dan bawah tanah di kampung itu mendapati tiada kandungan bahan kimia sianida diperoleh.

Berikutan itu, kata Murugiah, lombong emas itu dibenar meneruskan operasinya sekali gus menyifatkan masalah yang dibangkitkan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman (BKACAC) baru-baru ini sebagai selesai.

“Kita memutuskan kilang itu boleh beroperasi dan tidak membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelesaian kes aduan di Pejabat Biro Pengaduan Awam (BPA) Pahang di sini hari ini.

Beliau mengulas memorandum yang diserahkan Setiausaha BKACAC, Mustapha Hussin di Parlimen kelmarin, yang mendakwa nyawa lebih 3,000 penduduk terancam akibat penggunaan bahan kimia berbahaya dalam perlombongan emas di kampung berkenaan.

Jawatankuasa itu turut mendakwa bunyi bising dan bau daripada aktiviti perlombongan itu mengganggu kehidupan penduduk kampung terbabit.

Tiada ulasan: