Selasa, 23 Jun 2009

Selangor Arah Tubuh Jawatankuasa H1N1

TV SELANGOR


Kerajaan Selangor hari ini mengarahkan semua pejabat daerah di negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mencegah penularan wabak Influenza A (H1N1)

Exco Kesihatan, Kemiskinan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar berkata, jawatankuasa ini yang diketuai Pengawai Daerah perlu sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan jangkitan wabak tersebut.
"Pegawai-pegawai daerah perlu mengetuai jawatankuasa tindakan ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap tanda-tanda awal virus ini" katanya.

Tiga kes terbaru dikesan di Selangor melibatkan pelajar sekolah iaitu SMK Seksyen 9, Shah Alam, SMK Assunta, Petaling Jaya dan SMK Damansara Utama.

Pelajar terbabit kini dikuarantin di hospital dan keadaan sekolah adalah terkawal.

Sementara rakan-rakan sekelas pelajar berkenaan turut diarahkan dikuarantin di rumah dan setakat ini belum ada lagi sekolah yang diarah tutup untuk dikuarantin.

Menurutnya, penduduk diminta mengikuti dan peka dengan setiap taklimat serta garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mencegah virus ini.

"Orang ramai dinasihatkan mengikuti apa yang telah dirancang oleh Jabatan Kesihatan Negeri, segala taklimat atau program yang dianjurkan harus di ikuti," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan H1N1 seperti batuk, demam dan sebagainya, supaya segera membuat pemeriksaan di hospital berhampiran.

Beliau berkata, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengunjungi pesakit yang disahkan positif H1N1 untuk sementara waktu.

Tiada ulasan: