Khamis, 4 Jun 2009

Red Bull di negara ini tiada alkohol, dadah

MYMETRO


PUTRAJAYA: Produk minuman tenaga, jenama Red Bull, yang berada di pasaran di negara ini disahkan tidak mengandungi alkohol atau sebarang jenis dadah.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Nooraini Mohd Othman, berkata produk itu diimport dari Thailand dan dikilangkan di Malaysia, dan bukannya diimport dari Austria yang dilaporkan mengandungi alkohol dan dadah jenis kokain dalam kuantiti yang sedikit.

“Malahan minuman bertenaga Red Bull yang diedarkan di negara ini mendapat pensijilan halal sejak ia mula dipasarkan pada 1993,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Nooraini berkata, sebarang produk Red Bull dari Austria memang dilarang pengimportannya sejak 2001 selepas kajian mendapati tahap kandungan kafein pada produk itu tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, penjual atau pengedar bahan makanan yang mengandungi kokain atau dikesan penggunaan dadah dalam rantaian makanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

“Produk Red Bull dari Austria ini juga diharamkan penjualannya di beberapa negara seperti Jerman, Taiwan dan Hong Kong kerana dikesan mengandungi kokain dalam kuantiti sedikit,” katanya.

Tiada ulasan: