Khamis, 11 Jun 2009

PULO dakwa pihak berkuasa Thailand terlibat

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB


KOTA BHARU - Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) mendakwa pembunuhan beramai-ramai di Masjid Al- Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat malam Isnin lalu didalangi mereka yang mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa Thailand.

Laman rasmi pertubuhan itu menyebut bahawa Kerajaan Thailand akan sentiasa mengeluarkan kenyataan bahawa pembunuhan kejam seumpama itu sebagai angkara puak pejuang pemisah untuk menutup perbuatan keji itu.

"Namun tidak lama kemudian pembohongan mereka terbongkar apabila ada yang berani bersuara dan menyifatkan itu adalah perbuatan pihak berkuasa sendiri.

"Dalam keadaan serba salah untuk membendung keadaan agar tidak menjadi lebih buruk, Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban mengarah Jeneral Anopung (Ketua Tentera) pergi segera ke selatan untuk menangkap penjenayah-penjenayah dan bawa mereka kemuka pengadilan," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian terburuk sejak 2004, 11 jemaah terbunuh ketika mereka menunaikan solat Isyak apabila ditembak oleh sekumpulan penyerang berpakaian hitam dan bertopeng.

Kenyataan itu turut mempersoalkan sikap Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva sewaktu berada di Kuala Lumpur pada hari yang sama, telah berjanji memberikan keadilan, peluang dan ruang kepada wilayah selatan.

"Tetapi sebaliknya orang-orangnya merancang pembunuhan yang teramat kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas masyarakat sedang solat Isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan," dakwa kenyataan itu.

Jurucakap PULO, Kasturi Mahkota pula dipetik sebagai berkata, kekejaman terbaru terhadap umat Islam itu adalah angkara perbuatan balas dendam anggota keselamatan Thailand, ekoran serangan bom yang mencederakan sembilan rakan mereka sehari sebelumnya di kawasan Jingo, Narathiwat.

"Serangan kejam ini adalah perbuatan pihak berkuasa Thailand dan ia tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pejuang pemisah di selatan Thailand.

"PULO mengutuk keras perbuatan yang kejam ini kerana mereka menjadikan umat Islam yang sedang bersolat sebagai sasaran membalas dendam."

"Apakah kali ini Siam (Kerajaan Thailand) akan dapat menafikan itu bukan kerjanya setelah ramai yang melihat dan ramai pula Ahli Parlimen dari selatan yang menjadi ragu dan sangsi di atas tuduhan yang dibuat," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: