Ahad, 21 Jun 2009

PELUANG WARGA TUA MAHIRI TEKNOLOGI MAKLUMAT

Oleh
Nurul 'Ain Razali


SINGAPURA - LEBIH 230 warga tua yang mengikuti program teknologi maklumat (IT) anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South West kini dapat memanfaatkan sebuah makmal komputer bagi mempraktik apa yang telah dipelajari mereka.

Kolej Barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) (Kampus Bukit Batok), salah satu rakan kongsi program Elderly@IT Boot Camp itu, akan memperuntuk sebuah makmal komputer untuk peserta warga tua program tersebut.

Ia bertujuan memberi warga tua peluang melakukan aktiviti-aktiviti IT, seperti melungsuri Internet, mengirim e-mel dan menyertai permainan dalam talian.

Makmal tersebut dibuka bagi mereka sekali seminggu selama empat bulan, dari Julai hingga Ogos dan Disember hingga Januari depan.

Para pelajar ITE turut menyertai aktiviti warga tua itu.

Secara sukarela mereka mendaftarkan nama dan setiap kali makmal dibuka untuk warga tua mereka akan berada di sana untuk menghidupkan semua peralatan dan membimbing warga tua itu dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

Seorang daripada mereka, Muhammad Subri Hashim Hassan, 18 tahun, menjadi sukarela sejak Februari tahun lalu.

"Pada mulanya saya tidak biasa bergaul dan berbual bersama warga tua. Saya rasa susah nak berbual dengan mereka. Tetapi lama-kelamaan saya menjadi biasa.

"Saya juga telah mempelajari semangat kepasukan hasil inisiatif ini kerana kami harus bekerjasama untuk menyenggara makmal komputer," ujar Muhammad Subri, seorang anggota Kelab Perkhidmatan Masyarakat ITE-nya.

Usaha memperuntuk makmal itu serta menyediakan bimbingan oleh peserta kumpulan lalu dan penggunaan sebuah portal baru mesra warga tua, I Not Old.com @ South West, yang dilancarkan bulan lalu adalah satu pembaharuan yang diperkenal bagi program Elderly@IT baru-baru ini.

Dengan ini, peserta baru program itu dapat melalui program lebih menyeluruh. Ketika ditemui di majlis penutupan kumpulan terkini program itu semalam, Anggota Parlimen GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, melahirkan sokongan terhadap usaha melibatkan warga tua dalam program-program IT.

"Sekarang semua maklumat, seperti berita, terdapat di Internet. Saya percaya anak-anak dan cucu-cucu mereka juga berhubungan melalui Internet. Oleh itu, warga tua haruslah bersikap terbuka dan biasakan diri dengan portal dan Internet," ujarnya.

Tiada ulasan: