Selasa, 2 Jun 2009

Pelajar tidak perlu bimbang

Oleh HELMI MOHD. FOAD


PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan untuk mengehadkan jumlah mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan membawa kesan negatif kepada para pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar tingkatan empat tidak perlu bimbang kerana keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dilakukan secepat mungkin.

''Saya tahu pelajar tingkatan empat ada yang sudah merancang tentang mata pelajaran yang akan diambil pada tahun depan.

''Saya fikir tidak mengapa, bagi tujuan ilmu mereka boleh mengambil subjek tertentu dan selepas itu mereka boleh membuat pengubahsuaian apabila keputusan muktamad buat kelak," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semalam dilaporkan berkata, keputusan muktamad mengurangkan bilangan subjek teras dalam SPM daripada enam kepada empat subjek akan diumumkan pada waktu terdekat.

Pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.

Muhyiddin menasihatkan para pelajar agar menjalani proses pembelajaran seperti biasa sehingga keputusan muktamad tersebut diumumkan.

''Keputusan yang telah saya bayangkan itu adalah untuk membantu para pelajar dan keluarga mereka selain memudahkan para guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

''Banyak kesan positif yang telah kaji akan dapat dihasilkan setelah kita memutuskan bagi mengehadkan jumlah pengambilan mata pelajaran," katanya

Tiada ulasan: