Selasa, 9 Jun 2009

PAS: Tiada bantahan geng Mat Sabu

Abdul Rahim Sabri


Jawatankuasa Pemilihan PAS tidak menerima aduan berhubung dakwaan wujud ahli-ahli yang tidak berpuas hati kekalahan Mohamad Sabu dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

"Tidak usah dengar. Jangan dengar cakap-cakap tepi jalan," kata pengerusi jawatankuasa tersebut Datuk Mustafa Ali kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas ura-ura terdapat segelintir penyokong bekas naib presiden PAS itu yang mahu membuat aduan berhubung keputusan pemilihan yang diumumkan pada hari kedua muktamar di Shah Alam, Sabtu lalu.

Para penyokong Mohamad mendakwa undi yang diperolehi oleh penceramah popular PAS itu "sepatutnya lebih" daripada keputusan yang telah diumumkan.

Dalam persaingan tiga penjuru, Nasharudin Mat Isa mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden menewaskan pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Mohamad.

Husam dan Mohamad - kedua-duanya adalah bekas naib presiden - masing-masing mendapat sebanyak 281 dan 261 undi, manakala Nasharudin mendapat sebanyak 480 undi.

Tiada ulasan: