Khamis, 18 Jun 2009

Najib sedia jumpa Pakatan Rakyat

Oleh Misiah Taib, Syuhada Choo Abdullah dan M Hifzuddin Ikhsan


KUCHING: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan melihat dulu perkembangan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan serta tidak menolak kemungkinan mengadakan perjumpaan bukan saja dengan Pas, malah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno juga percaya, kalau tiada rundingan pun, sekurang-kurangnya akan ada perjumpaan untuk berbincang kerana yang penting sekarang ialah hasil perbincangan itu mesti membawa kebaikan untuk rakyat.

“Apa-apa yang hendak kita lakukan hendaklah berasas kepada kepentingan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita media selepas merasmikan Hotel Four Points by Sheraton di sini, petang semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, bahawa Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung penubuhan kerajaan perpaduan dengan syarat PKR dan DAP menyertai perbincangan itu.

Perdana Menteri berkata, setakat ini belum ada rundingan secara rasmi mengenai perkara itu.

"Kita tengok dulu perkembangannya, sebab ini pada peringkat awal lagi. Tapi saya tidak menolak kemungkinan kita akan mengadakan perjumpaan dan sebagainya,” katanya ketika ditanya apakah Umno juga bersedia berbincang dengan PKR dan DAP.

Sebelum merasmikan hotel empat bintang mempunyai 420 bilik itu, Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut melawat projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Beliau yang tiba pada di LTAK pada kira-kira jam 4.15 petang semalam tiba di sini untuk lawatan rasmi selama dua hari. Hadir sama pada majlis perasmian hotel berkenaan ialah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Penasihat Global Upline Sdn Bhd, Tan Sri Ting Pek Khiing.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pas perlu menetap dan menjelaskan pendirian mereka mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, ketika ini wujud ketidaksepakatan di kalangan pemimpin Pas mengenai cadangan berkenaan sehingga berlaku perubahan dan percanggahan pandangan serta kenyataan sesama mereka mengenainya.

Katanya, ia termasuk syarat terbaru disuarakan Mustafa bahawa perbincangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan mesti turut membabitkan DAP serta PKR.

Beliau berkata, keadaan itu masih berlaku walaupun Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, menjelaskan sebelum ini bahawa secara prinsip asalnya, Umno sedia berbincang dengan Pas mengenai penubuhan kerajaan perpaduan jika ia untuk kepentingan negara.

“Dia (Pas) berubah-ubah setiap hari. Hari ini buat kenyataan baru, esok tidak tahu apa lagi. Ini (cadangan) mereka. Jadi kita hendak tahu pendirian sebenar mereka,” katanya sebelum menghadiri program Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (17CCEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tiada ulasan: