Jumaat, 26 Jun 2009

MIC cadang pindah lokasi 22 sekolah Tamil

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Sejumlah 22 Sekolah Tamil dengan bilangan pelajarnya kurang daripada 15 orang mungkin akan dipindahkan ke kawasan lain yang mempunyai jumlah penduduk dalam kalangan kaum India yang lebih ramai.

:Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, MIC akan segera memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk memindahkan SRJK Ladang Sungai Timah yang mempunyai hanya seorang pelajar, ke lokasi paling hampir yang mempunyai lebih ramai penduduk kaum India.

:“Bagaimanapun langkah menukar sekolah bermakna satu tapak baru perlu dikenal pasti, di samping menyediakan peruntukan untuk kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah,” katanya, semalam.

:Beliau berkata demikian semasa mengulas beberapa laporan media mengenai sekolah berkenaan yang mempunyai hanya seorang pelajar Tahun Enam, K Humah, seorang guru besar dan dua guru.

:Menurutnya, sekolah itu akan dibina semula di lokasi baru dengan menggunakan dana dari peruntukan RM100 juta yang disediakan oleh kerajaan untuk membina semula sekolah-sekolah Tamil.

:Beliau berkata, parti politik itu juga akan memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan sekolah itu dipindahkan ke lokasi baru.:

:“Kami sedar masalah-masalah yang dialami oleh sekolah itu dan sudah mengambil langkah-langkah perlu bagi menanganinya,” katanya dan menambah bahawa MIC akan mengadakan perbincangan dengan pentadbiran sekolah itu berhubung perkara tersebut.

:Semalam, semasa mengulas isu sekolah itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan menutup mana-mana sekolah walaupun hanya mempunyai seorang pelajar.

:Muhyiddin berkata, kerajaan akan membenarkan sekolah itu beroperasi walaupun ia akan menyebabkan kementerian terpaksa menempatkan 10 guru di sekolah itu bagi mengajar seorang pelajar.

:Samy Vellu berkata, satu memorandum yang disediakan MIC buat kerajaan menunjukkan terdapat 22 sekolah SRJK di ladang-ladang, termasuk SRJK Ladang Sungai Timah Tamil, yang mempunyai pelajar kurang dari 15 orang dan sekolah-sekolah ini disyorkan untuk dipindahkan ke kawasan yang mempunyai lebih ramai penduduk Tamil.

Tiada ulasan: