Jumaat, 19 Jun 2009

Lapan lagi kes influenza H1N1 dikesan, jumlah 35

MALAYSIA KINI
(dikemaskini)


Lapan lagi kes terbaru Influenza A (H1N1) dikesan dalam tempoh 24 jam lalu - menjadikan jumlahnya kini meningkatkan 35 kes.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kesemua lapan kes tersebut merupakan kes import dan bukannya kes penularan tempatan.

Kes ke-28 merupakan seorang pelajar perempuan, warga Malaysia, berumur 20 tahun, yang belajar di Universiti Chicago dan pulang ke Malaysia untuk bercuti.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA) pada jam 7.30 pagi 15 Jun lalu dengan dengan penerbangan Malaysia MH 091, tanpa tanda demam.

Menurut kenyataan itu lagi, dia bagaimanapun mula menunjukkan gejala demam dan sakit tekak pada 16 Jun 2009 serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dia disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) semalam dan diberi rawatan di mana keadaannya adalah stabil.

Manakala kes ke-29 pula membabitkan pelajar perempuan berumur 11 tahun, warganegara Thailand, yang datang ke Malaysia bersama 43 orang lain untuk perlawanan persahabatan sukan.

Rawatan antiviral

Mereka tiba di KLIA pada Rabu lalu dengan menaiki pesawat MH 785. Dia dikesan demam semasa saringan di KLIA dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif influenza A (H1N1) semalam.

Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang diberikan rawatan antiviral.

Kes ke-30 membabitkan wanita warganegara Australia, berusia
50 tahun yang datang ke Malaysia untuk bercuti. Dia tiba jam 7.10 pagi Rabu lalu, dengan pesawat Air Asia X D7 2723 dari Melbourne.

Dia menunjukkan gejala demam dan batuk pada hari yang sama dan telah mendapatkan rawatan Rabu lalu. Dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan positif influenza A(H1N1) semalam.

Manakala kes ke-31 pula ialah wanita warga Malaysia, berusia 58 tahun yang telah pergi melancong ke Australia bersama 11 ahli keluarga yang lain.

Mereka berada di sana selama tiga hari dan balik ke Malaysia pada Selasa lalu dengan pesawat AirAsia X D7 2723 serta tiba di LCCT pada jam 7 pagi.

Dia menunjukkan gejala demam dan batuk pada hari yang sama dan telah mendapatkan rawatan semalam, dengan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan positif influenza A (H1N1) hari ini.

Klinik swasta

Kes ke-32 pula membabitkan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang bekerja di London sejak November 2008 dan pulang ke Malaysia untuk bercuti.

Dia tiba di KLIA jam 5.30 petang Isnin lalu dengan pesawat MH 001 dan menunjukkan gejala demam dan batuk pada hari berikutnya dan mendapat rawatan di klinik swasta pada hari Rabu.

Bagaimanapun kes tidak dirujuk ke hospital dan dia telah pergi ke Hospital Kuala Lumpur semalam dan disahkan positif influenza A(H1N1) hari ini.

Kes ke-33 pula adalah pelajar perempuan Malaysia berusia 15 tahun,
yang menziarahi sepupunya di Melbourne, Australia dan berada di sana dari 27 Mei sehingga 15 Jun lalu.

Dia pulang ke Malaysia Isnin lalu dengan pesawat Air Asia X D7 2723 dan tiba jam 7 petang di LCCT. Dia menunjukkan gejala demam dan batuk semalam dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama dan disahkan positif influenza A(H1N1) hari ini.

Manakala kes ke-34 pula membabitkan seorang surirumah warga Filipina berumur 30 tahun. Dia pergi ke Daerah ke Naguilian Quecun, Filipina pada 28 Mei sehingga 14 Jun lalu untuk menziarahi sanak saudara di sana.

Dia pulang ke Malaysia pada Ahad lalu dengan pesawat MH 705 yang tiba di KLIA jam 8 malam. Dia tidak ke mana-mana sehingga Rabu lalu dan mengalami gejala demam dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh semalam dan disahkan positif influenza A(H1N1) hari ini.

Dirawat di hospital

Kes ke-35 pula membabitkan lelaki berumur 20 tahun, rakyat Malaysia yang belajar di universiti di Melbourne, Australia. Dia berada di sana semenjak Januari tahun ini.

Dia pulang bercuti ke Malaysia dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7.15 pagi Isnin lalu dan menunjukkan gejala demam dan batuk pada petang hari yang sama serta mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Pada hari Rabu, dia diarahkan oleh klinik terbabit mendapatkan rawatan di hospital dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam dan disahkan positif influenza A(H1N1) hari ini.

Sehingga ini, sejumlah 23 kes daripada 35 kes yang disahkan positif influenza A(H1N1) masih dirawat di Hospital Sungai Buloh (10), Hospital Kuala Lumpur (6), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (1), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3),

Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah (1), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (1) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (1). Kesemua diberikan rawatan antivirus dan dalam keadaan stabil.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sejumlah 115 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza, diterima dari seluruh negara dan dimasukkan ke wad isolasi.

Sehingga semalam, terdapat 1,092 kes terkumpul yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A (H1N1)di mana 35 kes disahkan positif influenza A (H1N1), 987 disahkan negatif dan 70 masih menunggu keputusan.

Tiada ulasan: