Jumaat, 5 Jun 2009

Kerajaan negeri akan bertindak segera

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan negeri berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk Kampung Orang Asli Sungai Garing, Sungai Choh, Hulu Selangor yang sukar mendapatkan sumber air bersih sejak 35 tahun tinggal di situ dengan segera.

Paling memeranjatkan apabila sumber air yang diperoleh adalah dari kawasan bukit yang menjadi kawasan perkuburan Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, setakat ini beliau masih belum mendapat apa-apa laporan mengenai perkara isu penduduk tersebut.

“Apa pun di sana kita ada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), kita ada Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga pusat zakat.

“Saya rasa mereka telah meneliti perkara tersebut. Saya pasti laporan telah dibuat cuma belum sampai kepada saya,” katanya yang ditemui ketika membuat lawatan persiapan terakhir Muktamar Pas ke-55 di Stadium Melawati.

Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima laporan tersebut, beliau akan segera mengadakan mesyuarat dengan pegawai terlibat bagi membincangkan masalah itu.

Laporan Sinar Harian sebelum ini telah menyiarkan kisah penduduk Kampung Orang Asli Sungai Garing yang terpaksa menggunakan ‘air kubur’ untuk kegunaan ha-rian termasuk sebagai air minuman.

Selain sukar mendapat sumber air yang bersih, kaum Orang Asli di situ juga terpaksa bergelap dan masih menggunakan lampu pelita dan lilin kerana tiada bekalan elektrik.

Tiada ulasan: