Sabtu, 13 Jun 2009

Kebakaran hutan di Sumatera meningkat

Reuters.


PEKANBARU: Kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia, semakin meningkat dengan asap ditiup angin menyebabkan jerebu melanda beberapa bahagian di Malaysia serta menjejaskan jarak penglihatan.

Ketua Agensi Kaji Cuaca Iklim dan Geofizik Wilayah Riau, Blucer Dolok Saribu, berkata 47 titik panas dicatatkan di wilayah Riau semalam, berdasarkan pemantauan satelit, manakala suhu meningkat sehingga 35 darjah Celsius, keadaan yang dianggap luar biasa.

“Jika hujan tidak turun, jerebu dijangka semakin buruk,” katanya.

Beliau berkata, jerebu mungkin berterusan sekurang-kurangnya sehingga Ogos, manakala musim hujan biasanya bermula pada September.

Pekanbaru yang kerap mengalami jerebu diselubungi asap berwarna kekuningan awal minggu ini walaupun keadaan semakin baik selepas hujan turun semalam.

Penganalisis kaji cuaca, Rahmad Tauladani, berkata tiupan angin kencang menyebabkan jerebu melanda Malaysia, tetapi tiada penerbangan dibatalkan setakat ini berikutan jarak pemandangan kini dalam lingkungan 6,000 meter, dengan jarak minimum 1,000 meter membolehkan penerbangan dilakukan.

Kebakaran hutan biasa berlaku ketika cuaca panas di Sumatera dan Borneo tetapi keadaan semakin buruk sejak sedekad lalu apabila firma perladangan dan pembalakan kerap kali melakukan pembakaran terbuka untuk penerokaan tanah.

Jerebu paling buruk melanda pada 1997 dan 1998, apabila musim kemarau berpunca daripada fenomena El-Nino menyebabkan kebakaran hutan yang besar di Indonesia.

Ia menyebabkan jerebu merebak ke Singapura, Malaysia dan selatan Thailand, mengakibatkan ketiga-tiga negara kerugian AS$9 bilion (RM32.4 bilion) pendapatan daripada sektor pelancongan, pengangkutan dan pertanian.

Risiko jerebu yang teruk dijangka meningkat tahun ini apabila fenomena El-Nino berulang.

Tiada ulasan: