Isnin, 1 Jun 2009

Kabinet tentukan had subjek SPM

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Kabinet dijangka menentukan keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas mendapat laporan lengkap dari pelbagai pihak termasuk Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan menghantar laporan ke Kabinet itu bagaimanapun, hanya akan ditentukan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya beliau mendapati perlu berbuat demikian.

Katanya, buat masa sekarang, Kementerian Pelajaran dijangka mengadakan perbincangan akhir dengan LPM minggu depan, bagi membolehkan lembaga berkenaan menyediakan satu kertas kerja lengkap mengenainya.

"Selepas itu, satu mesyuarat profesional peringkat Kementerian Pelajaran dijangka diadakan dan hasilnya akan diserahkan kepada Muhyiddin nanti.

"Muhyiddin kemudian akan membuat penilaian sekali gus menentukan keputusan sepenuhnya terhadap laporan yang diterima itu dan beliau masih membuka pandangan serta pendapat orang ramai sebelum membuat keputusan.

"Sekiranya beliau (Muhyiddin) merasakan perkara itu perlu dibawa ke Kabinet, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu kertas kerja membabitkan perkara itu ke Kabinet pula, sebelum keputusan penuh mengenainya diumumkan nanti kepada orang ramai," katanya.

Beliau memberitahu pemberita ketika a diminta mengulas mengenai keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran SPM, selepas menyempurnakan majlis konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Zon Timur 2009, di Dewan Utama Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), di Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Seramai 1,165 guru membabitkan tiga IPGM Zon Timur iaitu IPGM Kampus Kota Bharu, Kelantan; IPGM Kampus Datuk Razali Ismail, Pahang dan IPGM Kampus Sultan Mizan, Terengganu, menerima diploma masing-masing pada majlis berkenaan.

Alimuddin berkata, untuk melaksanakan perkara ini, ia harus melalui peringkat tertentu sebelum satu peraturan dalam peperiksaan itu diputuskan.

"Kementerian Pelajaran tidak fikir tindakan kerajaan itu adalah satu masalah memandangkan ia hanya akan dilaksanakan tahun depan. Masih ada banyak masa untuk dibincangkan mengenainya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil tindakan itu kerana tidak ingin melahirkan pelajar yang hanya berorientasikan peperiksaan sehingga lupa kepada perkembangan lain seperti kokurikulum serta pelbagai aktiviti sampingan lain.

"Pelajar yang mengambil lebih dari 10 mata pelajaran SPM kurang 10 peratus dan dengan 10 mata pelajaran yang dihadkan itu, mereka sudah boleh masuk ke universiti serta memilih kursus yang diminati.

"Jumlah mata pelajaran yang diambil bukannya menjadi penentu pelajar berkenaan boleh memasuki pusat pengajian tinggi awam atau swasta, tetapi pencapaian mata pelajaran tertentu selain aktiviti sampingan menjadi keutamaan. Oleh itu pelajar hanya perlu memilih mata pelajaran yang sesuai," katanya.

Alimuddin menolak dakwaan bahawa peraturan baru ini ada kaitan dengan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) nanti.

"Pemberian biasiswa itu akan melalui proses temuduga selain melihat kepada akademik, pengetahuan dan kegiatan kokurikulum, tiada kaitan dengan jumlah mata pelajaran diambil," katanya.

Tiada ulasan: