Ahad, 14 Jun 2009

Denda RM500,000 pembakaran terbuka

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor berada dalam keadaan bersiap sedia berhubung keadaan jerebu yang melanda negeri ini berikutan rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 125 awal pagi semalam dicatatkan di Kawasan Pelabuhan Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, pemantauan akan dilakukan selama 72 jam bagi melihat semula UPI berkenaan sama ada mencatatkan pengurangan atau sebaliknya.

“Sekiranya catatan UPI melebihi 100 bermakna keadaan udara tidak sihat dan selepas pemantauan berkenaan bacaan masih kekal pada angka itu, satu pengumuman akan diadakan bagi membolehkan masyarakat bersiap sedia.

“Pihak industri juga mungkin akan diarahkan mengehadkan pelepasan asap ke udara. Sekiranya bacaan UPI melebihi 300, Majlis Keselamatan Negara akan mengambil alih (kerja pemantauan dan cara mengatasi), tetapi kita harap ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang. Kemiskinan dan Kerajaan Tempatan, Dr A Xavier Jayakumar.

Menurutnya, indeks UPI bergantung pada beberapa faktor antaranya arah tiupan angin dan tutupan awan serta tahap takungan air.

Katanya, keadaan jerebu ini dilihat berpunca daripada pembakaran terbuka di Sumatera dan di Selangor serta beberapa kejadian kebakaran hutan di negeri ini berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang akan berlanjutan sehingga September.

Elizabeth berkata, sehubungan itu kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan pembakaran terbuka.

“Kerajaan negeri dan semua agensi Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta Pasukan Bomba dan Penyelamat sentiasa bekerjasama meningkatkan pemantauan di kawasan tanah gambut dan kawasan mudah terbakar.

“Semua penduduk diminta tidak membuat sebarang aktiviti pembakaran terbuka, pagi tadi (semalam) saya menetapkan polisi pembakaran terbuka sifar di kawasan tanah gambut. Jika didapati bersalah individu terbabit akan dikenakan denda RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengenakan hukuman maksimum kepada pesalah dalam usaha mencapai sasaran pembakaran terbuka sifar di negeri ini.

Katanya tiga kawasan yang masih mengalami kebakaran adalah kawasan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran pondok tol Putrajaya seluas 20 hektar namun sehingga kini berjaya dikurangkan kepada 2.4 hektar.

Menurutnya, kawasan seluas 20 hektar juga terbakar di Hutan Rezab Kuala Langat bagaimanapun seluas empat hektar berjaya dipadamkan sehingga semalam.

Katanya, pasukan bomba juga berjaya memadamkan 1.6 hektar dari kawasan seluas empat hektar yang terbakar di Ladang IOI, Jalan Kebun.

“Kini semua agensi bersiap sedia memantau tiga kawasan yang sering berlaku kebakaran iaitu Johan Setia; Tanjung 12, Kuala Langat dan Hutan Simpan Raja Musa di Batang Berjuntai,” katanya.

Sementara itu, Xavier menasihati orang awam terutamanya warga emas dan penghidap asma supaya mengelakkan diri daripada terdedah dengan aktiviti di luar rumah dalam usaha menjaga tahap kesihatan mereka.

Katanya, masyarakat perlu memakai topeng mulut di kawasan terbuka dan penjual topeng berkenaan diminta supaya tidak mengeksploitasi keadaan jerebu yang melanda kini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes denggi di negeri ini menurun daripada 800 kes seminggu kepada 340 kes seminggu dan jumlah kematian setakat ini 36 kes.

Tiada ulasan: