Rabu, 24 Jun 2009

200,000 dos vaksin influenza untuk petugas barisan hadapan

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Semua sekolah yang diarahkan tutup berikutan penularan virus Influenza A (H1N1) perlu mengadakan kelas ganti selepas keadaan terkawal dan dijamin selamat.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata ia bagi mengelakkan pelajar sekolah terbabit tercicir pelajaran mereka akibat wabak berkenaan.

"Bagaimanapun, kelas ganti itu hanya boleh dilakukan selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan sekolah dan pelajar terbabit bebas daripada virus H1N1," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan blok tambahan bangunan Sister Aidan di Sekolah Kebangsaan Convent Green Lane bernilai RM850,000 di sini, semalam.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan sudah mengarahkan sebanyak empat sekolah ditutup selama seminggu selepas beberapa muridnya disahkan dijangkiti H1N1.

Sekolah itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan 2, Petaling Jaya dan Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras.

Tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Seksyen 9 Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama dan Sekolah Menengah Wangsa Maju pula masing-masing diarah menutup satu kelas selepas satu kes H1N1 disahkan.

Noor Reezan berkata, pelajar yang diarahkan bercuti pula perlu mengulangkaji pelajaran masing-masing di rumah dan tidak dibenarkan pergi ke kelas tuisyen.

Sementara itu, Noor Reezan berkata, kementerian juga menubuhkan satu pasukan khas yang akan memantau beberapa sekolah berisiko tinggi dijangkiti virus itu terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Pasukan itu akan memantau setiap sekolah setiap hari bagi mengesan lebih awal jika ada pelajar atau warga sekolah disyaki menghidap H1N1 untuk tindakan kuarantin," katanya.

Beliau berkata, guru besar dan pengetua sekolah turut diingatkan supaya memantau sekolah mereka setiap hari jika ada tanda penyakit seperti demam panas dan selesema pada pelajar dan warga sekolah.

"Walaupun pelajaran penting tetapi keselamatan dan nyawa lebih bernilai. Laporkan segera jika ada tanda awal bagi mengelakkan terus merebak," katanya.

Tiada ulasan: